Gudang penyimpanan barang musnah dalam kebakaran di Ayer Itam

GEORGE TOWN - Sebuah gudang penyimpanan barang di Ayer Itam di sini musnah dalam kebakaran pada petang Selasa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Menurutnya, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.02 petang dan tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian.
"Kebakaran melibatkan sebuah gudang penyimpanan barang kelas C yang diperbuat daripada kayu dan zink berkeluasan 929 meter persegi.
"Anggaran kemusnahan kebakaran adalah 80 peratus. Kerja-kerja pemadaman dan pengawalan kebakaran sedang dijalankan ketika ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, operasi pemadaman dilaksanakan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong dan dibantu oleh BBP Jalan Perak, BBP Balik Pulau dan BBP Perai.
"Kita juga mendapat bantuan daripada Pasukan Bomba Sukarela berhampiran.
"Jumlah keanggotaan yang terlibat seramai 27 anggota termasuk penyelia," katanya.
Ujar beliau, maklumat lanjut akan dikemas kini selepas operasi pemadaman tamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!