Di mana peranan kita halang perbuatan dera?

BARU-BARU ini tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang wanita memukul anaknya di sebuah pasar raya di Jejawi, Arau, Perlis.
Video berdurasi 48 saat itu menunjukkan kanak-kanak berkenaan terjatuh selepas dipukul dan kepalanya terkena bucu kerusi dipercayai sehingga berdarah.
Media pada 11 Februari lalu melaporkan, wanita tersebut ditahan polis di bilik sewanya kira-kira jam 11.30 malam sebaik sahaja menerima laporan daripada orang ramai.
Wanita yang merupakan pekerja kantin berusia 37 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Kes berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang mengesahkan bahawa kanak-kanak tersebut sudah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Umum mengetahui seorang ibu sepatutnya berfungsi sebagai pelindung kepada anak-anak, namun dalam kes ini menampakkan tiada langsung sifat kasih sayang seorang wanita terhadap anaknya yang masih kecil.
Nakalnya seorang kanak-kanak itu perkara biasa dan menjadi salah satu cabaran untuk ibu bapa di kala mereka sedang membesar. Tapi, hendak mendidik bukan dengan cara memukul sampai cedera.
Jika seorang ibu sanggup memukul darah dagingnya sendiri sehingga berdarah di khalayak ramai, bagaimana pula apabila kanak-kanak itu berada di rumah?
Kes penderaan kanak-kanak bukanlah perkara baharu, malah pasti akan mendapat perhatian masyarakat apabila dilaporkan menerusi media, apatah lagi jika menyebabkan kematian.
Berdasarkan statistik, kes mendera kanak-kanak setakat Ogos 2024 menunjukkan sebanyak 2,240 kes direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 897 kes membabitkan penderaan fizikal, manakala 1,260 kes merangkumi penderaan seksual dan 83 kes lagi penderaan emosi.
Penderaan bukan sahaja dilakukan ibu bapa, malah dalam kalangan pengasuh yang diberi tanggungjawab untuk menjaganya.
Kanak-kanak adalah individu yang lemah dan sudah tentu tidak bermaya untuk melawan semula perbuatan dilakukan terhadapnya.
Penderaan sama ada ibu bapa atau penjaga bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam terhadap perkembangan fizikal tetapi juga mental mereka.
Kesan penderaan ini termasuklah trauma berpanjangan, gangguan emosi dan masalah kesihatan mental yang berterusan. Amat malang apabila anak-anak tidak berdosa yang mempunyai masa depan cerah akhirnya terhuyung-hayang akibat penderaan.
Justeru, isu yang tidak berkesudahan ini perlu segera dihentikan dan pelakunya wajar dikenakan tindakan berat.
Langkah tegas seperti penguatkuasaan undang-undang lebih ketat, pendidikan keibubapaan dan sistem sokongan yang efektif perlu diperkukuhkan.
Berbalik semula kepada kes tular berkenaan, terdapat satu persoalan yang timbul. Adakah masyarakat kita prihatin apabila melihat kejadian memukul kanak-kanak berlaku di hadapan mata mereka?
Berdasarkan video tular yang berlaku di Jejawi itu, wanita tersebut memukul anaknya lebih daripada sekali, namun beberapa orang awam dilihat lalu-lalang dan sekadar memerhatikan kejadian itu tanpa menghiraukannya.
Di mana perginya sifat berperikemanusiaan sehingga orang ramai tidak boleh membantu insan kecil yang tidak bermaya itu, sekurang-kurangnya menghalang si ibu bertindak sedemikian.
Kes seperti ini merupakan tanggungjawab semua orang. Jika tidak, ia menunjukkan masyarakat kita masih gagal main peranan dalam melindungi kanak-kanak.
Justeru, kesedaran masyarakat terhadap isu penderaan perlu dipertingkatkan lagi. Melalui kerjasama semua, kita dapat membantu memastikan kanak-kanak membesar dalam persekitaran selamat dan sihat, seterusnya membentuk generasi masa depan lebih baik.
*Nor Syazrina Muhamad Tahir ialah Wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!