Kanak-kanak dipukul telah dapatkan rawatan - Nancy

SHAH ALAM - Kanak-kanak perempuan yang dipukul seorang wanita sehingga menyebabkan kecederaan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Perkara itu disahkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menerusi ciapan di laman sosial X, pada Selasa.
Beliau turut mengesahkan bahawa suspek wanita berkenaan telah ditahan oleh pihak polis.
"Pelindung Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) telah menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) PDRM untuk mengambil tindakan segera dan suspek dalam video ini telah pun ditahan oleh pihak polis.
"Kanak-kanak perempuan telah dibawa oleh Pelindung ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kita doakan semoga semuanya dipermudahkan bagi kanak-kanak perempuan ini," kata Nancy.
Pada Isnin, tular satu video berdurasi 48 saat di media sosial memaparkan seorang wanita memukul dan menampar seorang kanak-kanak perempuan di di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi di Perlis.
Wanita berkenaan turut menolak kanak-kanak itu sehingga terjatuh dan terhantuk pada bucu kerusi dan mengakibatkan pendarahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

