Hak bersuara, keselamatan rakyat dalam himpunan aman perlu seimbang

KEPUTUSAN kerajaan meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak kebebasan bersuara dan prinsip demokrasi negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis berkata, pindaan dengan menghapuskan syarat bagi penganjur perhimpunan mendapatkan kebenaran pemilik tempat perhimpunan diadakan bertujuan bagi memudahkan rakyat berhimpun secara aman.
Bagaimanapun Anwar menambah, penganjur perlu memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai penganjuran perhimpunan dalam tempoh lima hari sebelum ia diadakan.
Pindaan tersebut pastinya memberi kesan kepada cabaran penguatkuasa dan penganjuran perhimpunan pada masa akan datang.
Namun begitu, setiap dasar atau polisi yang dibuat oleh kerajaan, tentunya akan ada cubaan manipulasi atau salah guna daripada pihak tertentu untuk kepentingan diri.
Justeru, perlu adanya langkah atau kaedah pencegahan yang berkesan bagi menangani masalah berkenaan.
Pada Khamis, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mencadangkan supaya proses pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) perlu dilaksanakan dengan melibatkan konsultasi semua pihak termasuk NGO, pejuang hak asasi manusia, ahli akademik dan masyarakat sivil.
Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, ia kerana penyertaan pemegang taruh itu penting bagi memastikan pindaan dibuat mencerminkan keperluan rakyat dan mematuhi standard hak asasi manusia antarabangsa.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Dzul Aiman Zulkefly pada Khamis berkata, pindaan tersebut memerlukan mekanisme pelaksanaan yang jelas bagi mengelakkan penyalahgunaan oleh pihak berkuasa.
Menurut beliau, langkah berkenaan selaras dengan prinsip kebebasan berhimpun yang dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Ujarnya, PKPIM juga sedia mengadakan perbincangan strategik bersama pihak kerajaan, institusi pendidikan tinggi dan pertubuhan masyarakat sivil bagi memastikan pindaan tersebut memberi manfaat kepada rakyat serta membina budaya demokrasi lebih matang di negara ini.
Melihat kepada keputusan meminda akta tersebut, jelas mencerminkan komitmen tinggi kepimpinan Kerajaan Madani dalam memperkasakan hak kebebasan bersuara rakyat.
Apa yang penting, setiap penganjuran himpunan perlu memastikan keselamatan orang ramai dan ketenteraman awam terjaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!