Kesihatan terumbu karang merosot dua tahun berturut-turut - Reef Check Malaysia

Kejadian pemutihan karang global ke-4 berlaku pada 2024. Foto Reef Check Malaysia.
Kejadian pemutihan karang global ke-4 berlaku pada 2024. Foto Reef Check Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Badan bukan kerajaan (NGO), Reef Check Malaysia (RCM) mendedahkan kesihatan terumbu karang di negara ini mengalami kemerosotan untuk dua tahun berturut-turut iaitu sebanyak 44.65 peratus, menurun sedikit berbanding 45.87 peratus pada 2023 berdasarkan Laporan Tinjauan Tahunan 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif RCM, Julian Hyde berkata, selepas melakukan tinjauan di lebih 300 lokasi seluruh negara, pihaknya mengaitkan kemerosotan minimum itu dengan beberapa faktor utama iaitu pelancongan, pencemaran dan aktiviti perikanan.

Selain itu menurutnya, Fenomena Kelunturan Karang Global Ke-4 memberikan kesan ketara dan menjejaskan ekosistem terumbu di seluruh dunia, malah direkodkan berlaku di hampir 90 peratus lokasi yang dibuat tinjauan.

"Tinjauan juga menunjukkan bahawa populasi ikan dan invertebrata penunjuk masih rendah, manakala tanda-tanda gangguan terhadap terumbu karang semakin meningkat di banyak kawasan.

"Kira-kira 83 peratus lokasi kajian terjejas akibat jaring ikan dan sampah yang dibuang, sementara 56 peratus mengalami kerosakan akibat sauh bot. Di Sabah, 64 peratus terumbu karang rosak disebabkan pengeboman ikan.

"Aktiviti manusia ini memberikan kesan buruk yang besar terhadap terumbu karang. Justeru, kita perlu tangani segera ancaman tempatan ini bagi melindungi ekosistem marin daripada amalan yang tidak mampan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pukat hantu yang merosakkan terumbu karang. Foto Reef Check Malaysia.
Pukat hantu yang merosakkan terumbu karang. Foto Reef Check Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Pada Jun tahun lalu, terumbu karang di negara ini dilaporkan sedang mengalami isu kelunturan besar-besaran atau ‘mass coral bleaching’ akibat peningkatan suhu permukaan laut yang boleh memberi implikasi serius terhadap biodiversiti marin, perikanan dan pelancongan.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memaklumkan, perkara itu dikenal pasti melalui bantuan dan laporan diterima daripada NGO tempatan, operator selam dan penyelam skuba serta pasukan pemantauan.

DOF juga memantau rapi beberapa tapak Kepulauan Taman Laut susulan lebih 50 peratus terumbu karang terjejas dan berdasarkan tinjauan dijalankan dari April hingga Jun 2024 antaranya Pulau Payar, Kedah; Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Tenggol di Terengganu; Pulau Tioman, Pahang serta Pulau Pemanggil, Johor.

Sementara itu, Hyde memaklumkan, pihaknya memohon agar kerajaan mempertimbangkan pendekatan pengurusan bersama yang melibatkan komuniti tempatan dalam menguruskan kawasan Taman Laut Malaysia sebagai tindak balas penemuan tinjauan.

Tambahnya, terdapat banyak kajian menunjukkan bahawa penglibatan komuniti mampu membawa kepada hasil pemuliharaan yang lebih baik seperti Kumpulan Pemuliharaan Marin Komuniti (CMCG).

Malah, kata beliau, RCM telah bekerjasama dengan CMCG selaku rangkaian penduduk pulau yang terlatih dalam usaha pemuliharaan laut.

"Organisasi ini juga menekankan kepentingan membina daya tahan ekologi dan ekonomi. Terumbu berketahanan tinggi mempunyai peluang lebih baik untuk bertahan atau pulih daripada ancaman perubahan iklim yang semakin meningkat.

"Begitu juga komuniti yang berdaya tahan kerana mereka akan mempelbagaikan ekonomi dan tidak hanya bergantung kepada pelancongan. Jadi, kami meminta kerajaan pertimbang peralihan ke arah model pelancongan mampan bagi menggalakkan amalan yang lebih mesra alam.

"Memandangkan ekosistem terumbu karang menyediakan sumber makanan dan mata pencarian kepada komuniti pesisir pantai, RCM menekankan betapa pentingnya kerajaan memberi perhatian terhadap isu pemuliharaan biodiversiti marin serta usaha melindungi terumbu karang," ujar Hyde.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!