Sijil halal hilangkan keraguan pelanggan

Pengasas Richiamo Coffee tekad ‘halalkan’ kesemua 220 premis selepas dapur berpusat, kilang peroleh SPHM

PREMIS yang mempunyai SPHM mempunyai akses pasaran yang lebih luas dan diyakini pengguna.
PREMIS yang mempunyai SPHM mempunyai akses pasaran yang lebih luas dan diyakini pengguna.
A
A
A

KEKELIRUAN umat Islam dalam melaksanakan tanggungjawab mendapatkan makanan yang halal boleh dielakkan dengan melihat logo halal yang dipamerkan di restoran, premis dan produk.

Segala keraguan itu boleh diatasi dengan satu logo yang tertulis ‘Halal’ dan ia boleh menenangkan hati mereka untuk menyantapnya dengan yakin.

Walaupun terdapat beberapa kes penggunaan logo halal palsu di pasaran, namun tindakan pantas kerajaan dan pihak berkuasa menangangi kes tersebut dan menghukum pesalah boleh melegakan masyarakat terutamanya Muslim.

Berbicara mengenai halal, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee Sdn Bhd (Richiamo Coffee), Datuk Muhamad Zamry Abu Samah menjelaskan, pentingnya pengusaha untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk menghilangkan keraguan daripada para pelanggan.

“Dengan pelbagai jenama di pasaran, SPHM sangat baik untuk menonjolkan standard produk itu halal dan bersih.

“Lebih-lebih lagi Richiamo Coffee membawa nama ‘international’ dari Itali, maka sijil dan logo halal itu akan membuang segala keraguan mereka,” katanya ketika ditemu bual Sinar Islam Plus baru-baru ini.

MUHAMAD ZAMRY
MUHAMAD ZAMRY

Artikel Berkaitan:

Menjelaskan lebih lanjut, dapur berpusat yang dikendalikan Richiamo Coffee telah mendapatkan sijil halal pada 2024, begitu juga dengan kilang mereka yang mengeluarkan pelbagai produk kopi dan makanan seperti lauk-pauk.

“Jadi sasaran kita pada tahun ini, kesemua 220 premis Richiamo Coffee kini ke arah mendapatkan sijil halal secara serentak.

“Apabila dipamerkan logo halal di premis, maka segala keraguan dan waswas pengguna terutamanya bagi umat Islam ini akan hilang dan mereka boleh menjamu pelbagai hidangan dan kopi di Richiamo Coffee dengan yakin,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebelum ini Richiamo Coffee pernah mendapatkan SPHM untuk premis ketiga mereka di Universiti Teknologi Malaysia di Kuala Lumpur dan ia tidaklah sesukar seperti digambarkan sesetengah pihak.

“Perlu difahami SPHM merupakan satu standard yang telah ditetapkan pihak berautoriti bukan sahaja untuk halal, bahkan ia merangkumi aspek kebersihan juga.

“Sekiranya pengusaha melengkapkan apa yang diperlukan standard itu, maka tidak susah untuk mendapatkan sijil tersebut.

“Malah kerajaan juga telah bersetuju untuk mengurangkan tempoh pemprosesan sijil halal dan ini usaha baik pihak kerajaan dalam merancakkan lagi industri halal,” hurainya.

Cabaran terhadap staf

Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu, antara cabaran yang perlu ditempuhi Richiamo Coffee adalah berkaitan dengan kesedaran dalam kalangan stafnya sendiri terlebih dahulu dalam mematuhi standard yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berautoriti agama di negeri-negeri.

TANGGUNGJAWAB terhadap pematuhan halal bukan terletak pada bahu komuniti halal semata-mata, bahkan kesemua staf perlu mematuhi prosedur penyediaan makanan halal.
TANGGUNGJAWAB terhadap pematuhan halal bukan terletak pada bahu komuniti halal semata-mata, bahkan kesemua staf perlu mematuhi prosedur penyediaan makanan halal.

“SPHM bukan sahaja melibatkan komuniti halal yang ditubuhkan syarikat, malah meliputi keseluruhan staf agar mereka mematuhi segala peraturan yang terkandung di dalamnya.

“Sebagai pengusaha produk makanan, salah satu cabaran yang perlu dihadapi secara umumnya adalah latihan kepada meraka.

“Cabarannya adalah staf kadang kala silih berganti, maka kesedaran dalam pematuhan kepada SPHM ini perlu sentiasa dilakukan,” jelasnya.

Ujarnya, pihaknya tidak mahu berlaku pelanggaran peraturan SPHM di premis Richiamo Coffee kelak sekiranya kesedaran kepada semua staf tidak dibuat dengan sebaik-baiknya, lebih-lebih lagi audit dari pihak Jakim dilakukan secara mengejut.

Impak besar sijil halal

Menjelaskan lagi, Muhamad Zamry menjelaskan, impak besar dapat dilihat terutamanya dari segi jualan apabila sesebuah perniagaan tersebut memperoleh sijil halal untuk premis atau produk mereka.

“Mengapa berlaku peningkatan dari segi jualan? Antaranya pengguna terutamanya masyarakat Islam tidak perlu pening kepala untuk memikirkan mengenai status halal dan bersih apabila melihat logo atau sijil halal.

“Selain itu, ia meningkatkan lagi nilai tambah kepada perniagaan berbanding pesaing yang tidak mempunyai sijil halal,” jelasnya.

PERASAAN ragu dan waswas akan hilang selepas pengguna melihat logo halal pada restoran atau produk.
PERASAAN ragu dan waswas akan hilang selepas pengguna melihat logo halal pada restoran atau produk.

Mengulas mengenai pelbagai slogan yang dipamerkan di premis perniagaan, beliau menjelaskan, masalah tersebut selesai sekiranya pengusaha tersebut memohon dan memperoleh SPHM.

“Tiada keraguan jika ada sijil dan logo halal ini. Umat Islam bukan sahaja dapat memenuhi kewajipan mereka mendapatkan makanan yang halal, malah bukan Islam juga boleh menikmati hidangan dengan yakin akan status kebersihannya,” katanya.

Menurut Muhamad Zamry, pihaknya juga bercadang untuk mendapatkan sijil halal buat 10 premis Richiamo Mart pada masa akan datang.

“Perkara ini bagaimanapun satu proses yang panjang memandangkan sebahagian produk terutamanya daripada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan belum memperoleh sijil halal.

“Richiamo Mart banyak mempromosikan produk IKS, jadi kita perlu meningkatkan kesedaran kepada para pengusaha IKS ini agar mereka mendapatkan sijil halal terlebih dahulu sebelum kita ke langkah seterusnya,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan para pengusaha untuk memandang kesan positif dan impak besar yang mereka akan perolehi apabila berjaya mendapatkan SPHM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!