Peluang PKS luaskan pasaran di Mega Halal Bangkok 2026

SYARIKAT perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan berpeluang meluaskan lagi pasaran halal mereka ke peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam Mega Halal Bangkok 2026 yang akan dilangsungkan di Queen Sirikit National Convention Center, Bangkok, Thailand bermula 15 hingga 17 Julai ini.
Pameran anjuran Comasia Limited dengan kerjasama SHAPERS (pengasas MIHAS dan HALFEST Malaysia), Thailand Food Institute ( I) serta Thai Muslim Trade Association (TMTA) itu dijangka menjadi antara platform perdagangan halal paling signifikan dan terbesar di Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif SHAPERS, Datuk Mohd Shukri Abdullah berkata, pameran itu dibuat bagi memberi fokus kepada usaha membantu usahawan tempatan khususnya PKS dan Bumiputera dalam menembusi pasaran Thailand serta negara lain selain mendapatkan akses kepada pembeli antarabangsa.
“Penganjuran ini turut berlangsung serentak dengan Mega Show Bangkok 2026 yang dijangka meningkatkan kehadiran pembeli perdagangan antarabangsa sekali gus mengukuhkan kedudukan Thailand sebagai hab perdagangan utama ASEAN.
“Ia juga sebagai platform untuk merancakkan perdagangan halal rentas sempadan di samping mengukuhkan rangkaian bekalan halal serantau,” katanya dalam satu kenyataan.
Lebih 200 pempamer dari lebih 10 negara dijangka mengambil bahagian meliputi sektor makanan dan minuman halal, kosmetik, penjagaan diri, farmaseutikal, kesihatan dan kesejahteraan, fesyen Muslim, produk gaya hidup serta teknologi halal.
Antara negara yang mengesahkan penyertaan termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, China dan Taiwan sekali gus menjadikan pameran itu platform strategik bagi mempromosikan produk halal Asia ke pasaran global.
Perkembangan itu selari dengan pertumbuhan pesat ekonomi halal dunia yang dipacu perningkatan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal di pelbagai negara.
Ujarnya, pihak penganjur turut melaksanakan siri promosi di beberapa negara bagi memperluaskan penyertaan antarabangsa selain ia juga mendapat sokongan organisasi halal serta rakan media di Afrika Selatan, Korea Selatan, Pakistan dan Bangladesh.
Pengusaha tempatan seperti PKS, pengeluar makanan, kosmetik, farmaseutikal, fesyen Muslim dan produk gaya hidup halal digalakkan merebut peluang menyertai Mega Halal Bangkok 2026. Pendaftaran boleh dibuat menerusi www.megahalal-bangkok.com.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

