Bomba sahkan 'nahas pesawat' di Melaka

Simulasi menghadapi situasi kecemasan insiden pesawat terhempas pada Khamis. Foto JBPM Melaka
Simulasi menghadapi situasi kecemasan insiden pesawat terhempas pada Khamis. Foto JBPM Melaka
A
A
A

MELAKA – Rakyat negeri ini digemparkan insiden pesawat terhempas di Lapangan Terbang Melaka yang tular di media sosial pada pagi Khamis.

Bagaimanapun, semakan mendapati kejadian itu hanyalah sebahagian daripada Latih Amal Bencana Udara Exercise Laksamana 2026 yang dianjurkan di Lapangan Terbang Melaka bagi menguji tahap kesiapsiagaan agensi penyelamat dan kecemasan menghadapi insiden kemalangan pesawat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Shahrom Laji berkata, latihan berkenaan merupakan satu keperluan di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016 serta garis panduan penerbangan awam yang ditetapkan.

Menurutnya, latihan itu dilaksanakan dengan kerjasama Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB), Lapangan Terbang Melaka dan pelbagai kementerian, jabatan serta agensi berkaitan bagi menguji keberkesanan Pelan Kecemasan Aerodrom.

“Latihan ini bertujuan memastikan semua agensi tindak balas kecemasan mampu melaksanakan tindakan secara pantas, cekap dan bersepadu mengikut fungsi serta bidang kuasa masing-masing sekiranya berlaku bencana udara sebenar,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Simulasi menghadapi situasi kecemasan insiden pesawat terhempas pada Khamis. Foto JBPM Melaka
Simulasi menghadapi situasi kecemasan insiden pesawat terhempas pada Khamis. Foto JBPM Melaka

Beliau berkata, pelaksanaan latihan dimulakan pada 21 Julai lalu menerusi Tabletop Exercise (TTX) yang melibatkan semakan prosedur operasi, peranan setiap agensi dan mekanisme koordinasi sebelum simulasi lapangan dijalankan.

Katanya, kemuncak latihan berlangsung pada Khamis menerusi Full Scale Exercise (FSX) yang bermula jam 10 pagi dan berakhir pada jam 12 tengah hari dengan mensimulasikan situasi kecemasan nahas pesawat.

Artikel Berkaitan:

Bagi menjayakan latihan itu katanya, JBPM Negeri Melaka melalui Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh menggerakkan tiga aset utama iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan sebuah Water Tanker.

“Aset-aset ini digunakan bagi menguji keupayaan operasi pemadaman kebakaran pesawat, perlindungan kawasan operasi, pembekalan air secara berterusan serta penyelamatan dan pengeluaran mangsa.

“Latihan ini juga menguji keupayaan komunikasi, penyelarasan arahan, pengurusan sumber dan perkongsian maklumat antara semua agensi yang terlibat,” katanya.

Antara agensi yang mengambil bahagian ialah MASB, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Hospital Melaka serta beberapa agensi teknikal dan sokongan lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!