Ismail Sabri bangkit persoalan nilai pelaburan sebenar dapat direalisasikan Kerajaan Madani

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berkata, timbul persoalan terhadap jumlah sebenar pelaburan yang benar-benar dibawa masuk ke negara ini khususnya hasil daripada lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara.
Dakwa beliau, walaupun suasana negara terutamanya ekonomi berada pada tahap sebelum pandemik, nilai ringgit sangat tidak stabil.
"Nilai ringgit jatuh pada titik terendah dalam tempoh 26 tahun iaitu RM4.78 berbanding satu dolar Amerika Syarikat pada 14 Februari 2024 dan kini masih berkisar sekitar RM4.50.
"Ini menimbulkan persoalan terhadap jumlah sebenar pelaburan yang benar-benar dibawa masuk ke negara ini khususnya hasil daripada lawatan Perdana Menteri ke luar negara.
"Jadi, berapakah nilai pelaburan sebenar yang telah direalisasikan sejak Kerajaan Madani dibentuk pada 24 November 2022?" soal beliau.
Beliau berkata demikian Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.
Tambah beliau, sehingga hari ini dalam tempoh tidak sampai dua bulan pertama 2025 sebanyak RM3.5 bilion dana asing bersih sudah ditarik keluar berbanding RM4.2 bilion yang ditarik keluar pada tahun 2024 dan sebanyak RM2.4 bilion ditarik keluar pada tahun 2023.
"Sektor pembuatan ini adalah tulang belakang ekonomi negara dan jika trend ini berterusan, ia mampu menjejaskan prestasi ekonomi Malaysia untuk tempoh jangka panjang jika tidak diatasi dengan segera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
