Wanita bersama 4 anak rentung rumah terbakar hamil lima bulan

Gambar kenangan Allahyarham, Laila Fathinah (kiri) bersama empat anaknya yang rentung dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai, pada awal pagi Khamis.
Gambar kenangan Allahyarham, Laila Fathinah (kiri) bersama empat anaknya yang rentung dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai, pada awal pagi Khamis.
A
A
A

JASIN - Wanita yang rentung bersama empat anaknya dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini, awal pagi Khamis sedang mengandung lima bulan anak ketujuh.

Ibu mangsa, Ruziha Osman, 60, dari Puchong, Selangor, berkata, dia tidak menyangka musibah itu meragut nyawa anak sulung daripada tiga beradik, Laila Fathinah Mustapa,37, bersama empat lagi cucunya berusia empat hingga 13 tahun.

Menurutnya, beberapa jam sebelum kejadian dia menghantar arwah bersama cucu-cucunya pulang ke rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai namun arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

"Memang tak sangka, lagipun arwah kelihatan ceria dan bergurau dengan kami seperti biasa.

"Arwah sedang mengandung, malah sebelum ini mereka sekeluarga terlibat dalam kemalangan di Brisu Alor Gajah pada 30 Januari lalu, namun terselamat," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Kecemasan Hospital Jasin di sini pada Khamis.

Tambah Ruziha, arwah mempunyai enam anak namun dua daripada anaknya itu tinggal bersama dengannya ketika kejadian itu berlaku.

Muhammad Khairuddin (kiri) yang sedang mendapat rawatan di Hospital Jasin tidak dapat menahan emosi ketika menemui ibu mentuanya, Ruziha.
Muhammad Khairuddin (kiri) yang sedang mendapat rawatan di Hospital Jasin tidak dapat menahan emosi ketika menemui ibu mentuanya, Ruziha.

Sementara itu, ibu saudara kepada suami arwah yang hanya dikenali sebagai Ina berkata, rupanya ALLAH SWT mahu mengambil arwah bersama empat anaknya dengan cara lain.

Menurutnya, sedih mengenangkan nasib keluarga itu yang sebelum ini terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas menziarahi datuk mereka yang nazak akibat sakit tua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) beberapa minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kalau dilihat daripada keadaan kereta jenis Proton Iswara Aeroback keluarga arwah yang remuk teruk memang tidak percaya kesemua mereka terselamat dalam kemalangan tersebut.

"Kami baru kesedihan, pemergian arwah bapa (datuk kepada Muhammad Khairuddin), hari ini kami dimaklumkan pula dengan musibah yang menimpa anak saudara kami.

"Setakat ini, emosi Muhammad Khairuddin yang masih mendapat rawatan di hospital tidak stabil dan kami sekeluarga akan terus memberi semangat kepadanya," katanya yang menetap di Klang.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang ibu bersama empat anaknya rentung selepas kediaman mereka di Kampung Berangan Enam, Umbai, di sini musnah dalam kebakaran pada awal pagi Khamis.

Mangsa maut dikenali sebagai, Laila Fathinah Mustapa,37 dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah,13; Izz Daffa Hafizuddin,7; Nur Dalilah Khadijah, 6 dan Izz Danish Fathi empat tahun manakala suami kepada Laila, Muhammad Khairuddin Saari, 35, terselamat.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, bapa kepada empat anak itu turut mengalami sesak nafas akibat menghidu kepulan tebal asap kebakaran dan menerima rawatan di Hospital Melaka.

Insiden yang meruntun hati itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertua Negeri Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang berkesempatan menziarahi Muhammad Khairuddin di hospital.

Dalam pertemuan hampir sejam itu, Mohd Ali dan Ab Rauf memberi kata-kata semangat kepada Muhammad Khairuddin yang dilihat gagal mengawal emosi dan menangis di samping anak dan ibu mentuanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!