VitaHealth perkukuh komitmen produk halal bersama Guardian
Kempen ‘Pilih Halal, Pilih VitaHealth’ tingkat keyakinan pengguna melalui produk yang mempunyai sijil halal Jakim

JENAMA suplemen kesihatan terkemuka, VitaHealth memperkukuhkan komitmennya dalam menyediakan produk halal menerusi kempen ‘Pilih Halal, Pilih VitaHealth’ yang dilancarkan dengan kerjasama Guardian baru-baru ini.
Kempen itu antara lain bertujuan memberi keyakinan kepada pengguna Muslim dengan memastikan produk kesihatan ditawarkannya mempunyai pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ketua Pegawai Eksekutif VitaHealth (Malaysia & Singapura), Dr KS Beh menegaskan, inisiatif itu mencerminkan kesungguhan syarikat dalam memenuhi keperluan masyarakat Malaysia yang pelbagai.
“‘Pilih Halal, Pilih VitaHealth’ menggambarkan komitmen kami dalam menyediakan produk halal yang memberi ketenangan kepada pengguna Muslim, populasi masyarakat terbesar di Malaysia.
“Kami memastikan setiap produk dihasilkan bukan sahaja menyokong kesihatan, tetapi juga menepati nilai dan kepercayaan terhadap piawaian halal,” katanya dalam satu kenyataan media sempena pelancaran kempen itu di Kuala Lumpur.
Sepanjang lebih 70 tahun pengalaman dalam industri, beliau menjelaskan, VitaHealth menawarkan pelbagai produk kesihatan yang diiktiraf halal oleh Jakim seperti suplemen, formula herba dan minuman nutrisi.
Katanya, semua produk itu melalui proses kawalan ketat dalam setiap peringkat pengeluaran termasuk dari segi pemilihan bahan mentah, pembuatan, pembungkusan dan penyimpanan.
“Kerjasama strategik antara VitaHealth dan Guardian ini akan membolehkan pengguna mendapatkan akses mudah kepada suplemen kesihatan halal kami yang berkualiti tinggi.
“Produk VitaHealth kini boleh didapati di semua cawangan Guardian di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komersial Guardian Malaysia & Brunei, Chase Watling begitu berbesar hati dengan kerjasama itu dalam menyediakan pilihan terbaik kepada pelanggannya.
“Ia membuktikan dedikasi kami dalam memenuhi permintaan terhadap produk halal berkualiti tinggi dan dipercayai,” ujarnya.
Pada majlis itu, ia sarat dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya demonstrasi produk dan sesi perbincangan bersama pakar kesihatan VitaHealth.
Bagi rakan korporat dari MyVitaLab, Nabiha Aimi, beliau berkata, begitu pentingnya setiap individu mengamalkan gaya hidup sihat dan mengamalkan suplemen halal yang berkualiti.
“Dengan komitmen VitaHealth terhadap kualiti dan integriti halal, saya yakin untuk menyesyorkan produk ini kepada orang ramai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!