Pakej pelayaran eksklusif tarikan baharu di Matta Fair Perak

IPOH - Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak kembali dengan tawaran pakej lebih menarik di Pusat Konvensyen Ipoh pada 22 dan 23 Februari ini.
Penganjuran edisi ke-34 itu bakal menghimpunkan 30 penggiat industri pelancongan melibatkan 115 reruai pameran pelancongan dari dalam dan luar negara.
Pengerusi MATTA Fair Perak, Wendy Shin berkata, pameran kali ini turut dimeriahkan dengan penyertaan Tourism Pahang dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan tawaran pakej percutian terbaik.
Menurutnya, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai pilihan pakej percutian bermula pelayaran mewah hingga percutian tersuai yang memenuhi citarasa pelancong masa kini.
"Tahun ini, MATTA Perak berbangga memperkenalkan beberapa pakej pelancongan baharu antaranya pelayaran eksklusif yang mewah sesuai untuk keluarga, pasangan bulan madu dan pengembara solo.
"Selain itu, kita juga menyediakan pakej pelancongan pengembaraan untuk mereka yang gemarkan cabaran serta pengalaman pelancongan yang direka khas seperti lawatan budaya, ekopelancongan dan percutian kesihatan," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, MATTA Fair Perak menjangkakan jumlah jualan mencecah RM24 juta sepanjang dua hari pameran berlangsung dengan anggaran kehadiran seramai 19,000 pengunjung.
Katanya, sebagai platform sehenti yang dipercayai pelancong, semua pempamer terlibat adalah ejen pelancongan berlesen dan berpengalaman, memastikan setiap tempahan yang dibuat adalah selamat dan dipercayai.
"Bagi pengunjung yang membuat pembelian pakej pelancongan bernilai RM100 ke atas, mereka layak menyertai Peraduan Pembeli dan berpeluang memenangi hadiah menarik termasuk baucar perjalanan MATTA, tiket penerbangan, penginapan hotel dan pas taman tema," katanya.
Majlis perasmian dijadualkan pada 22 Februari jam 11 pagi oleh Exco Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.
Orang ramai boleh melayari dan mengikuti perkembangan MATTA Fair Perak menerusi laman Facebook rasmi iaitu Facebook @facebook.com/mattaperak dan Instagram @mattaperak untuk mendapatkan maklumat terkini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


