Kenaikan duti setem perjanjian sewa tambah beban rakyat - MCA

SHAH ALAM - MCA kesal dengan langkah kerajaan yang didakwa meminda Akta Duti Setem 1949 untuk meningkatkan kadar duti setem bagi perjanjian sewa kerana ia menambahkan lagi beban rakyat.
Naib Presidennya, Datuk Ir Lawrence Low berkata, tindakan itu juga seolah-olah menafikan hak memiliki tempat tinggal bagi golongan berpendapatan rendah atau B40.
Katanya, memiliki sebuah tempat tinggal antara keutamaan golongan belia hari ini dan bagi mereka yang tidak mampu membeli rumah sendiri mereka terpaksa menyewa dan biasanya penyewa terdiri daripada B40 serta mereka yang bujang.
"Pelaksanaan pindaan akta ini secara 'senyap-senyap' tanpa pengumuman rasmi berupaya menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
"Apa yang paling mengecewakan adalah kegagalan kerajaan untuk menyediakan penjelasan dan ketiadaan ketelusan dalam perancangan serta pelaksanaan dasar," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pindaan Akta Duti Setem 1949 didakwa berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu yang menyaksikan kadar duti setem tersebut dinaikkan.
Lawrence yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) MCA menegaskan, kerajaan sepatutnya bermuhasabah daripada reaksi negatif rakyat terhadap pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel secara mengejut pada tahun lalu.
Menurutnya, belum sempat rakyat menyesuaikan diri kepada peningkatan kos barangan, kini penyewa terpaksa berdepan dengan kenaikan kos duti setem, apatah lagi dengan penarikan balik subsidi petrol yang bakal dilaksanakan dalam beberapa bulan lagi.
"Diingatkan, mekanisme subsidi petrol ini masih belum dijelaskan oleh kerajaan setakat ini. Ini bukan kali pertama kerajaan dilihat gagal menyediakan penjelasan dan kesilapan ini mengukuhkan gambaran seolah-olah kerajaan tidak prihatin terhadap kesusahan rakyat.
"Sebaliknya kerajaan hanya mementingkan pengutipan cukai untuk menutup jurang kekurangan berbanding dengan kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu, di mana ia merupakan sistem yang lebih baik," ujar beliau.
Justeru, katanya, sikap kerajaan yang mengambil mudah sokongan rakyat wajar diubah dan prinsip ketelusan yang sering diperjuangkan oleh mereka semasa zaman pembangkang wajar dikembalikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!