'Duit gaji suami habis pergi kelab cari wanita Vietnam'

Antara wanita warga asing yang ditahan JIM Kuala Lumpur di sebuah pusat hiburan di ibu negara pada Khamis.
Antara wanita warga asing yang ditahan JIM Kuala Lumpur di sebuah pusat hiburan di ibu negara pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Duit gaji suami habis pergi kelab cari perempuan Vietnam."

Itu luah wanita tempatan berusia lingkungan 30-an yang bimbang selepas suaminya mula terjebak di sebuah pusat hiburan di Sri Petaling, di sini, sejak setahun lalu.

Menurut wanita yang enggan namanya dikenali itu, selepas terjebak dengan aktiviti itu, suaminya gagal memberikan duit perbelanjaan rumah.

"Sebelum ini suami akan beri duit untuk perbelanjaan rumah, sejak dia pergi kelab malam, tiap-tiap bulan gaji habis di kelab sahaja.

"Dia (suami) kerap ke kelab terbabit, dalam seminggu tu ada beberapa kali pergi sana," katanya selepas mengadu agar tindakan diambil ke atas premis terbabit.

Susulan aduan terbabit, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur telah melaksanakan Op Gegar di pusat hiburan terbabit pada Khamis.

Wan Mohammed Saupee
Wan Mohammed Saupee

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan bermula kira-kira jam 12.40 tengah malam telah memeriksa 90 individu dari pelbagai warganegara membabitkan pengunjung serta pekerja premis.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hasil pemeriksaan telah menahan 34 individu termasuk 27 wanita berusia lingkungan 20 hingga 30-an.

"Semakan ke atas tangkapan mendapati tiga merupakan warga tempatan, Thailand (16 orang), Laos (6 orang), Myanmar (5 orang) dan Vietnam (4 orang).

"Wanita yang ditahan ini disyaki gadis pelayan pelanggan (GRO) yang menerima tip daripada pelanggan untuk teman minum dan berhibur, manakala warga tempatan dipercayai sebagai pengurus, bouncer serta penjaga wanita asing terbabit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

JIM turut melaksanakan dokumentasi terhadap pengunjung pusat hiburan.
JIM turut melaksanakan dokumentasi terhadap pengunjung pusat hiburan.

Beliau berkata, pelbagai kesalahan dikesan ke atas warga asing yang ditahan antaranya tiada pas atau permit sah serta langgar syarat pas.

Tegasnya, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Tangkapan warga tempatan juga disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI)," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!