Keselamatan pusat beli-belah, tempat tumpuan diperketatkan - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis memperketat keselamatan di lokasi tumpuan ramai di seluruh negara susulan insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam pada Sabtu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, anggota polis bantuan dan pengawal keselamatan di lokasi ini juga perlu berwaspada terhadap sebarang aktiviti mencurigakan.

Katanya, jaminan keselamatan orang awam adalah keutamaan.

"Susulan insiden semalam (Sabtu), Polis Selangor sudah mengenal pasti suspek dan usaha mengesannya sedang dilakukan.

"Polis juga sudah menghubungi pihak berkuasa di negeri berhampiran negara jiran untuk meningkatkan pemantauan," katanya pada Ahad.

Razarudin berkata, pihaknya juga meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan keresahan dan kebimbangan.

"Kami memahami bahawa pelbagai kebimbangan timbul susulan kes ini tetapi berharap orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan," ujarnya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bahawa Balai Polis Seksyen 6 telah dimaklumkan kejadian tembakan itu kira-kira jam 10.50 malam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam kejadian itu, suspek lelaki melepaskan empat das tembakan hingga mengenai kaki dan punggung seorang pekerja tukang cuci di pusat beli-belah berkenaan yang ketika itu hendak menyimpan peralatan mencuci di aras P1.

Mangsa melarikan diri dan masuk ke dalam pusat beli-belah untuk mendapatkan bantuan manakala suspek lari ke aras P2.

Berdasarkan siasatan, suspek merupakan warga tempatan, berkulit cerah dan berusia lingkungan 30-an selain memiliki 11 rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dan berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintenden Mohd Afandi Ahmad di talian 016-725 2948 atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-5520 2222.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!