Larangan bawa kanak-kanak sertai jemaah haji, tindakan tepat kerajaan Arab Saudi

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Peraturan baharu Kerajaan Arab Saudi yang melarang jemaah haji membawa kanak-kanak ke Tanah Suci diyakini sebagai satu langkah yang tepat kerana mereka lebih mengetahui perkara terbaik untuk melancarkan perjalanan pengurusan pada musim haji.
Pempengaruh media sosial, Emirzaelly Hashim, 30, berkata, para jemaah akan lebih mudah fokus sepenuhnya pada ibadah masing-masing tanpa perlu risau akan keselamatan dan keselesaan anak-anak mereka.
“Pandangan saya, ketika menunaikan ibadah haji, lebih baik tidak membawa anak-anak terutama yang masih kecil.
“Ini kerana, semasa musim tersebut Makkah akan menjadi lautan manusia dan untuk mengelakkan sebarang masalah seperti anak hilang atau terhimpit serta sesak lebih baik tidak membawa mereka.
“Jemaah juga boleh fokus untuk betul-betul menunaikan ibadah,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan peraturan baru bagi musim haji 2025 dengan tidak membenarkan kanak-kanak menyertai jemaah tersebut ke tanah suci.
Menurutnya, langkah itu bertujuan untuk melindungi kanak-kanak daripada risiko berbahaya akibat kesesakan luar biasa setiap tahun semasa musim haji.
Bagi pekerja swasta, Mohd Azizi Sahaludin, 36, keputusan itu juga dapat mengurangkan risiko golongan kanak-kanak dijangkiti penyakit berbahaya yang dilihat semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.
“Ketika musim haji, terdapat lebih kurang dua juta manusia yang ada untuk menunaikan ibadah, sudah pasti mereka semakin terdedah dengan risiko untuk dijangkiti pelbagai penyakit.
“Ditambah pula dengan keadaan cuaca panas boleh menyebabkan mereka terdedah dengan strok haba,” katanya.
Bagaimanapun, menurut suri rumah, Siti Aisyah Abdul Rahim, 44, Kerajaan Arab Saudi mungkin boleh mempertimbangkan untuk melaksanakan semula pengurusan yang lebih baik agar dapat membenarkan kanak-kanak menyertai jemaah haji pada masa depan.
Katanya, ia adalah satu pendedahan awal yang bagus untuk kanak-kanak lebih memahami dan mengenali ibadah suci dalam Islam.
“Saya setuju keputusan tidak membenarkan tersebut tetapi mungkin Kerajaan Arab Saudi boleh melaksanakan pengurusan yang lebih baik agar dapat membenarkan kanak-kanak untuk pergi ke tanah suci.
“Walaupun, haji ini sah untuk orang dewasa sahaja tetapi saya rasa tidak salah untuk membawa kanak-kanak sebagai pendedahan awal untuk mereka,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!