Dua bulan yang mencabar buat ibu bapa

HANYA tinggal beberapa hari lagi sesi persekolahan baharu 2025 akan membuka tirai. Pastinya ketika ini golongan ibu bapa sibuk menyiapkan segala keperluan anak-anak mereka.
Lazimnya setiap kali bermulanya sesi baharu, anak-anak pasti mengimpikan kelengkapan serba baharu yang menyebabkan ibu bapa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar.
Baik persalinan sekolah dari kepala hingga ke kaki, alat tulis serta kelengkapan belajar termasuk buku tulis dan buku-buku, semuanya hendak yang baharu.
Ibu bapa boleh menarik nafas lega apabila kerajaan menyediakan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 untuk setiap murid Tahun Satu hingga Tingkatan Empat, namun kadar itu mungkin belum membuat ibu bapa hilang sakit kepala memandangkan bukan sedikit-sedikit kelengkapan sekolah mahu disediakan, malah pelbagai yuran perlu dilunaskan kelak.
Itu belum kira lagi kos bayaran bulanan van dan bas sekolah yang dijangka naik, pakaian sukan serta uniform kokurikulum, kelengkapan untuk Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) selain duit belanja harian yang tidak lagi sama seperti zaman penulis di alam sekolah suatu ketika dahulu.
Bagi yang mampu mungkin tak beri kesan sangat berbanding mereka yang berada di golongan pertengahan dan B40, terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak ramai, apatah lagi mereka dari kumpulan miskin tegar.
Persalinan sekolah baharu paling kurang dua pasang buat setiap anak, kasut dan beg sekolah. Apatah lagi kalau anak-anak minta beg sekolah berjenama atau mempunyai lakaran animasi terkenal, mahu garu kepala ibu bapa dibuatnya.
Kalau ada anak-anak yang mengerti keperitan orang tua mereka dan sanggup menyarung pakaian lama, pasti akan ringan sedikit beban ibu bapa mereka di bulan dua.
Lebih mencabar buat ibu bapa kali ini, pembukaan sesi persekolahan baharu cuma beberapa minggu sebelum umat Islam bertemu kembali dengan bulan Ramadan yang dijangka bermula awal bulan Mac.
Baru lega menyelesaikan persiapan sekolah, ibu bapa perlu fikir persiapan anak-anak bagi menyambut Ramadan dan hari raya pula.
Nak tak nak, ibu bapa tiada pilihan lain selain perlu bijak merancang perbelanjaan harian, apatah lagi apabila menjelang petang di deretan gerai bazar Ramadan.
Anak-anak mungkin sudah impikan baju raya dan aksesori baharu untuk melaram di Aidilfitri. Belum kira lagi yang nak bergaya dengan baju Melayu berjenama planet angkasa yang sudah mula dipromosi.
Harga barang mentah dan keperluan lain pula makin meningkat dari hari ke hari. Cuba bayangkan pula harga yang diletakkan pada jualan peniaga di bazar Ramadan nanti.
Sedangkan ada keperluan lain yang perlu difikirkan selepas hari raya nanti apatah lagi kini rakyat sudah tak dapat nikmati tol percuma di musim perayaan bermula tahun ini.
Namun, jika hayati, pada Ramadan inilah kita sebenarnya masa untuk berjimat dengan mengawal nafsu berbelanja.
Semoga ibu bapa cekal menghadapi dua bulan yang mencabar ini. Mungkin bermula tahun ini kita cuba melatih diri berjimat serta merancang sebaiknya pengurusan kewangan.
Biarlah kita sambut sesi persekolahan baharu, bulan puasa dan hari raya secara sederhana. Tidak perlu bergaya sakan hakikatnya dompet kering dan hutang keliling pinggang.
Buat anak-anak pula, jangan bebankan ibu bapa kalian yang cuba sehabis baik untuk menyediakan keperluan untuk anak-anak.
Semoga golongan ibu bapa dapat mengharungi bulan-bulan mencabar ini sebaiknya, dalam masa sama tidak meminggirkan keperluan dan kasih sayang untuk keluarga.
*Mohd Iskandar Othman ialah Wartawan Sinar Harian Utara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
