Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mula berkuat kuasa

SHAH ALAM - Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) mula berkuat kuasa pada Selasa setelah diwartakan pada 7 Februari lalu.
Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan berkata, pindaan tersebut menyediakan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari kepada pengguna.
"Ia sekali gus memberikan perlindungan lebih baik kepada pengguna terutamanya kanak-kanak dan keluarga.
"Jumlah kes jenayah dalam talian pada 2024 yang mencecah 35,368 kes dengan nilai kerugian lebih RM1.5 bilion membuktikan bahawa pindaan tersebut adalah tepat pada masanya," kata kenyataan itu pada Selasa.
Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 diluluskan di Dewan Rakyat pada Disember melalui undi belah bahagian dengan 59 ahli Parlimen bersetuju manakala 40 ahli Parlimen tidak menyokong, seorang tidak mengambil bahagian serta 122 tidak hadir.
Seksyen 233 di bawah Akta 588 tidak dimansuhkan untuk mengelak penyalahgunaan rangkaian oleh mana-mana pihak bagi tujuan komersial khususnya penjualan pornografi dan pedofilia.
Bagi pindaan Seksyen 211 pula, ia tidak terpakai kepada orang awam tetapi penggunaannya adalah kepada pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) dengan denda dalam seksyen berkenaan diselaraskan mengikut perkembangan semasa.
Pindaan itu juga memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tempoh lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, bagi kesalahan yang dilakukan terhadap kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.
Menerusi pindaan itu, Seksyen 211 menggantikan perkataan 'kandungan jelik' dengan perkataan 'kandungan yang sumbang dan lain-lain' manakala dalam Seksyen 211 (b)(1) memotong perkataan 'atau orang lain yang menggunakan perkhidmatan aplikasi kandungan' serta menggantikan perkataan 'jelik' dengan perkataan 'jelik melampau'.
Seksyen 211(c) pula antaranya menggantikan perkataan 'seseorang' dengan perkataan 'pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan' selain menggantikan perkataan 'lima puluh ribu' dengan perkataan 'satu juta'.
Dalam pada itu, Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian bertujuan untuk meningkatkan kesedaran segenap lapisan masyarakat mengenai keselamatan internet akan dilaksanakan di lebih 10,000 sekolah dan universiti awam di seluruh negara.
Kempen dilaksanakan melalui melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi tumpuan kepada beberapa aspek penting seperti larangan pemilikan akaun media sosial bagi kanak-kanak di bawah usia 13 tahun, kesedaran mengenai penipuan dalam talian, perjudian siber, buli siber serta jenayah pedofilia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
