X

Kindly register in order to view this article
!

Satu pengkhianatan terhadap Pakatan Harapan: Anwar

Anwar ketika Majlis Zikir Tazkirah-Selawat Nuril Anwar-Solat Hajat yang dirakam secara langsung di kediamannya di Bukit Segambut di sini malam tadi.
A
A

SEGAMBUT - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa terkejut dengan perkembangan yang berlaku dalam negara dan percubaan pengkhianatan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, menerusi maklumat diterima, beliau mendakwa memang terdapat usaha demikian.

“Kita dikejutkan dengan perkembangan yang bagi kita satu pengkhianatan kerana sudah janji dan sebagainya maka menyebabkan ada perubahan.

“Saya menjangkakan kemungkinan itu akan berlaku dalam masa terdekat. Mungkin esok walaupun tidak ada pengumuman malam ini tapi maklumat yang saya terima memang ada usaha demikian,” katanya ketika Majlis Zikir Tazkirah-Selawat Nuril Anwar-Solat Hajat yang dirakam secara langsung di kediamannya di Bukit Segambut di sini malam tadi.

Difahamkan, Presiden PKR Anwar Ibrahim akan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur esok.

Setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memberitahu Malaysiakini yang pertemuan itu dijadual pada pukul dua petang.

"Ia sudah dirancang lebih awal," katanya lagi.

Anwar sebelum itu sambil berseloroh berkata, beliau mengetahui jemputan yang hadir ke kediamannya dalam keadaan gelisah dengan perkembangan yang berlaku.

“Saya tahu saudara-saudara dalam keadaan gelisah, majlis ini akan berjalan seperti biasa. Jangan pula terganggu dengan keadaan semasa, memang ada gangguan tapi kena ingat majlis kita mesti berjalan seperti biasa.

“Saudara datang sini untuk bermunajat kepada ALLAH, solat, zikir salawat dan solat hajat bukan kerana Anwar nak jadi Perdana Menteri kelapan, mungkin kesembilan. InsyaALLAH itu hebat jadi orang Islam yakin dan yang penting tawakal.

“Kita jangan terganggu memang biasa kita manusia akan terganggu lah sikit kerana kejutan tidak dijangka.Kita ambil pendekatan yang sangat sederhana, lembut habis...sokong sahaja tetapi sabar tahap dewa dia orang kata. Tetapi saya selalu ‘qualified’. Ada ketika kita akan gunakan panah sakti,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M hanya senyum, tak beri komen

20 kenderaan VIP masuk Istana Negara petang ini

UMNO, Pas bincang hala tuju Muafakat Nasional

Desas-desus gabungan baharu untuk Malaysia

Beliau sebelum itu berkata, gangguan berlaku hanya sementara.

“Kita pernah lalui lebih parah dulu...ini hanya cubaan kecil. Selalu mak, tok guru dan kiyai pesan pada saya nak capai yang agak penting, besar cita-cita nak buat perubahan lebih bermakna untuk menuju ke satu tahap maka liku-liku dan halangan lebih besar.

“Harap ALLAH mempermudahkan dan memperkuatkan kita dan yang akhirnya penting mencapai kebaikan dan kemenangan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Anwar berkata, percubaan pengkhianatan itu membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan segelintir pihak dari parti PKR.

Beliau memaklumkan pihak itu juga didakwa sudah bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah petang tadi namun belum ada pengumuman lanjut dibuat.

Wartawan yang berhimpun di hadapan kediamannya tidak dapat mengikuti atau mendengar sesi tazkirah itu apabila diminta keluar selepas solat Maghrib tadi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus