[VIDEO] Pasangan kekasih curi beg berjenama, produk kecantikan dijel 44 hari dan denda RM2,000
MELAKA - Pasangan kekasih dijatuhi hukuman penjara 44 hari dan denda RM2,000 selepas masing-masing mengaku salah mencuri beg berjenama dan produk kecantikan di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Tertuduh, Mohamed Amirul Mohamed Nasir dan Fatimah Tambi, kedua-duanya berusia 40 tahun mengaku melakukan perbuatan itu sebaik dua pertuduhan berasingan dibacakan terhadap mereka.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didapati mencuri beg tangan berjenama Bonia berharga lebih RM800 daripada milikan seorang wanita berusia 63 tahun di sebuah butik di Mahkota Parade, Taman Melaka Raya kira-kira jam 8 malam pada 30 Januari lalu.
Pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa bersama-sama mencuri 10 barang daripada milikan seorang wanita berusia 25 tahun di Watson Taman Seri Telok Mas kira-kira jam 8.20 malam pada 12 Januari.
Semua pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, kegiatan suspek terbongkar selepas pengadu membuat kiraaan stok sebelum melihat rakaman litar tertutup (CCTV).
Menerusi rakaman itu, tertuduh didapati mengambil barangan tanpa membuat sebarang bayaran di kedua-dua premis terbabit.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mengesahkan kedua-dua tertuduh tidak mempunyai hubungan suami isteri dan memohon hukuman berat dikenakan kerana dilakukan pada tarikh berbeza.
Sementara itu, peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu hukuman penjara berjalan serentak dan denda rendah berikutan Mohamed Amirul tidak mempunyai pekerjaan tetap selain sudah berumah tangga.
Katanya, tertuduh juga mempunyai tiga cahaya mata dan hanya melakukan kerja kampung dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan.
Menurut Muhammad Izzuddin, Fatimah adalah ibu tunggal mempunyai lima anak hanya bekerja di sebuah syarikat penapis air dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
Katanya, tertuduh wanita juga menjaga ibu menghidap sakit jantung dan darah tinggi selain mengaku perbuatan dilakukan adalah untuk mencari pendapatan lebih dengan menjual semula barangan yang dicuri.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman kemudian menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dari tarikh ditangkap iaitu pada 2 Februari lalu bagi kesalahan mencuri produk kecantikan.
Mahkamah kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara satu bulan selepas selesai penjara 14 hari dan masing-masing didenda RM2,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi kesalahan mencuri beg tangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

