APM tapis 160,000 liter air sungai untuk penduduk terputus bekalan

TELUK INTAN – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hilir Perak mengambil inisiatif menyalurkan lebih 160,000 liter air bersih yang ditapis dari Sungai Perak dan sumber air berhampiran kepada penduduk di beberapa kawasan berikutan bekalan air terputus sejak empat hari lalu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hilir, Kapten Mohd Affindi Ishak berkata, usaha itu digerakkan sepasukan anggota sejak Isnin dengan menggunakan tiga mesin Sistem Penapisan Air Mudah Alih (MWFS) milik agensi berkenaan.
Menurutnya, mesin berkenaan memang disediakan untuk kegunaan sewaktu bencana seperti banjir bagi tujuan membekalkan air bersih kepada orang ramai.

"Memandangkan sudah lebih tiga hari penduduk terputus bekalan air, jadi kita ambil inisiatif sejak petang semalam (Isnin) guna mesin ini tapis air dari Sungai Perak untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas.
"Sehingga semalam (Isnin) lebih 160,000 liter air sudah kita agihkan kepada penduduk di dua kawasan iaitu di sekitar Taman Maharani, Jalan Maharajalela dan Kampung Pengkalan Ara, Chenderong Balai. Hari ini (Selasa) kita teruskan lagi agihan di sekitar Kampung Degong, Langkap.
"Kapasiti mesin ini boleh menapis sehingga 2,000 liter air dalam masa sejam. Kami bawa mesin penapis berhampiran sungai dan kita sedut air melalui penapis. Penduduk datang boleh terus ambil air yang dah ditapis," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mohd Affindi berkata, mesin berkenaan pertama kali digunakan bagi tujuan membantu penduduk yang terputus bekalan air akibat kebocoran paip Lembaga Air Perak (LAP).
Menurutnya, sebelum ini mesin tersebut digunakan sewaktu bencana kerana kesukaran mendapatkan air bersih kepada mangsa yang terjejas terutama ketika banjir.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan operasi membekalkan air bersih kepada penduduk itu dilaksanakan seramai 18 orang anggota sejak Isnin.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 50,000 akaun pengguna LAP di Tapah, Bidor dan Teluk Intan mengalami gangguan bekalan air sejak 6 Februari lalu.
Masalah tersebut dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran paip air mentah dari muka sauk Batu 7 Sungai Woh yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air Bukit Temoh yang berlaku sejak 4 Februari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!