Angkara monyet, satu negara terputus bekalan elektrik

COLOMBO - Gara-gara seekor monyet menceroboh sebuah stesen janakuasa, kira-kira 22 juta penduduk di Sri Lanka menghadapi gangguan bekalan elektrik di seluruh negara.
“Haiwan itu telah mengusik pengubah grid di kemudahan itu hingga menyebabkan ketidakseimbangan pada sistem,” ujar Menteri Tenaga, Kumara Jayakody.
Krisis itu berlaku pada pagi Ahad dan mengakibatkan ramai penduduk bergantung kepada generator sebelum bekalan kuasa kembali pulih secara berperingkat.
Warganet bagaimanapun menjadikan kejadian itu sebagai jenaka, selain mengkritik pihak berkuasa.
Menerusi laporan media pada Isnin, seorang jurutera kanan yang enggan identitinya didedahkan memberitahu pemerintah telah berulang kali diberi amaran supaya menaik taraf grid kuasa atau bakal berdepan masalah bekalan elektrik terputus secara kerap pada masa depan jika tiada tindakan segera diambil.
Negara Asia Selatan itu pernah berdepan gangguan bekalan elektrik berskala besar ketika krisis ekonomi pada 2022. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!