DBKL buka semula tawaran petak bazar Ramadan, Aidilfitri 2025

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka semula tawaran petak bagi bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri bermula Khamis hingga Ahad ini.
Pihak berkuasa tempatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, tawaran itu dibuka berdasarkan kekosongan yang masih ada dan pemohon boleh memohon secara dalam talian.
"Berita baik kepada semua peniaga yang berminat untuk berniaga di bazar Ramadan dan Aidilfitri DBKL bagi tahun 2025.
" DBKL akan membuka semula tawaran petak bagi bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri bermula pada 13 Februari hingga 16 Februari 2025 (Khamis – Ahad) berdasarkan kekosongan.
" Permohonan adalah secara online melalui kaedah "first come, first serve". Sila imbas kod QR yang tertera atau layari pautan https://elesen.dbkl.gov.my untuk membuat permohonan," menurut DBKL di laman Facebooknya pada Khamis.
Dalam pada itu, ujarnya, pemohon juga boleh hadir ke kaunter khidmat rundingan yang dibuka di lokasi-lokasi terpilih seperti tertera di poster yang dimuat naik di laman media sosial itu.
"Sebarang pertanyaan boleh hubungi Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan di talian 03-2028 2541 / 2537 / 2538 (waktu pejabat)," tambahnya.
Pada 1 Februari lalu, media melaporkan DBKL akan menyediakan kira-kira 3,000 lot tapak bazar Ramadan di kawasan seliaan PBT itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!