Covid-19: Johor kaji keperluan turunkan kadar cukai hiburan taman tema

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri Johor akan mengkaji sama ada terdapat keperluan untuk menurunkan kadar cukai hiburan taman tema terhadap pelancong asing susulan penularan jangkitan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata, bagaimanapun, segala keputusan serta pendekatan berhubung perkara itu akan diambil setelah pakej rangsangan ekonomi yang bertujuan mengurangkan impak ekonomi luaran susulan penularan jangkitan Covid-19 diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 27 Februari depan.

“Saya memang terima maklum balas daripada mereka (pemain industri taman tema) berkaitan cukai hiburan yang akan dikenakan kepada pelancong asing.

“Perkara ini juga saya telah bangkitkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan kita akan mengkaji berapa banyak penurunan jumlah pelancong, (selepas itu) baru kita buat keputusan,” katanya dalam sidang media selepas penutupan sesi Dialog Awam Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Mohd Zamri Mat Zain dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof.

Cai Tung berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada terdapat pemain industri pelancongan di Johor yang mengutarakan kepada kerajaan negeri mengenai pelepasan cukai susulan penularan Covid-19.

Sementara itu, berucap pada majlis berkenaan, beliau berkata pemain industri perlu menukar strategi, berusaha serta memberi tumpuan kepada sektor pelancongan domestik selain merangka pakej kreatif dan istimewa bagi menarik pelancong tempatan.

Justeru, Cai Tung berkata, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah untuk menarik kedatangan pelancong.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri Johor telah menjalankan jerayawara publisiti bersama Tourism Johor bagi Tahun Melawat Johor bersama Sekretariat Sukan Malaysia Johor 2020 di kawasan tumpuan iaitu Perak bulan ini dan beberapa negeri lagi bagi mempromosi Johor bulan depan.

“Tourism Johor juga mengambil pendekatan bersama blogger dan juga pengaruh media sosial tempatan untuk mempromosi lebih banyak tempat menarik di negeri ini... ini adalah antara usaha yang dijalankan untuk menarik pelancong,” katanya. - Bernama