'Tak sempat pakai baju raya sedondon dengan Nur Haidhar'

Jenazah Nur Haidhar dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Kerchut, Pendang selepas solat Isyak. Foto kecil: Nasrul Noorul’in
Jenazah Nur Haidhar dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Kerchut, Pendang selepas solat Isyak. Foto kecil: Nasrul Noorul’in
A
A
A

ALOR SETAR - Harapan seorang bapa untuk memakai pakaian sedondon warna burgundy pada hari raya bersama keluarga tidak kesampaian apabila anak sulungnya ditemukan lemas di Sungai Padang Terap, Chegar, Pendang pada Isnin.

Nasrul Noorul’in, 45, berkata, dia telah merancang dan memilih warna tersebut dan arwah anaknya, Nur Haidhar, 17, juga sempat mencuba sekali apabila disuruh.

Menurutnya, anak sulung daripada tiga beradik itu menyukai baju melayu berkenaan namun tidak menyangka baju berkenaan akhirnya menjadi kenangan buat keluarga mereka.

"Baju raya pun dah beli. Dia sempat pakai sekali sebab nak cuba, warna burgundy sebab yang ini saya yang rancang.

"Saya bagi dia pakai dan memang dia sukalah, ini menjadi satu kenangan sebab dia dah pakai," katanya semasa ditemui di Pusat Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, dekat sini.

Nur Haidhar Nasrul
Nur Haidhar Nasrul

Dia yang bekerja di Majlis Daerah Pendang berkata, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sik itu adalah harapan keluarga kerana cemerlang di dalam akademik.

Menurutnya, Nur Haidhar adalah seorang pendiam namun patuh dan mendengar nasihat yang diberikan oleh kedua ibu bapanya.

Artikel Berkaitan:

"Saya dapat tahu kejadian ini pada jam 7.15 petang Ahad. Sepupu saya telefon suruh datang sendiri dan saya ingat hanya cedera biasa. Dia mungkin tidak mahu saya terkejut.

"Bila sampai, saya tengok ada bomba dan polis, saya sudah dapat rasakan sesuatu," ujarnya.

Tambahnya, anak kedua, Muhammad Arman Nasrul, 11, menceritakan Nur Haidhar minta jenazahnya diuruskan menggunakan duit simpanannya jika dia meninggal dunia namun tidak dibenarkan maklum kepada sesiapa.

"Nur Haidhar pulang bercuti selama sebulan dari asramanya.

"Minggu lepas arwah beritahu adiknya kalau dia meninggal dunia, urus jenazah guna duit simpanannya," katanya yang tidak mendedahkan duit simpanan arwah.

Jelasnya, Nur Haidhar juga menolak untuk membeli baju uniform sekolah baharu walaupun diajak berkali-kali sebelum ini.

Jenazah Nur Haidhar dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Kerchut, Pendang selepas solat Isyak.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas motosikal ditungganginya terjatuh ke dalam sungai Padang Terap di Chegar dekat sini, ditemukan lemas pada pagi Isnin.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Aminuddin Rahim berkata, mangsa dikenali Nur Haidhar Nasrul berusia 17 tahun ditemui pada jarak 10 meter dari lokasi yang dipercayai terjatuh pada petang Ahad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!