X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 2,000 peserta sertai Mega Seminar Magnet Rezeki Reset Minda 2020

Pengasas Magnet Rezeki, Nasrullah Najmudin ketika di Mega Seminar Magnet Rezeki Reset Minda yang disertai lebih 2,000 peserta anjuran Syakirin Souls Transformation (SST), yang di adakan di Bangi Aveneu Convention Centre (BACC). - FOTO ROSLI TALIB
A
A

LEBIH 2,000 peserta mengambil bahagian pada Mega Seminar Magnet Rezeki Reset Minda anjuran Syakirin Souls Transformation (SST) di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) di sini semalam.

Buat julung kalinya juga, seminar tersebut turut menggabungkan dua tokoh terkenal iaitu Transformational Speaker, Profesor Datuk Dr Muhaya Mohamad dan Pengasas Magnet Rezeki, Nasrullah Najmuddin yang lebih dikenali sebagai Pak Nasrullah.

Pengerusi SST, Datuk Faridah Mohd Ali berkata, seminar itu mendapat sambutan sangat menggalakkan sehingga pihaknya terpaksa menolak beberapa permohonan penyertaan berikutan tempat yang terhad.

Menurutnya, SST menyediakan khidmat latihan dan bimbingan berkualiti di Malaysia dengan matlamat membawa insan ke tahap proaktif dan berdaya saing.

FARIDAH
FARIDAH

“Saya sangat yakin SST akan menganjurkan lebih banyak program untuk membawa Pak Nasrullah dan Dr Muhaya.

“SST akan menjadi satu organisasi untuk mensinergikan ilmu Certified Trainer Magnet Rezeki (CTMR) supaya ia lebih berkembang dan akan diurus dengan mantap serta baik,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mengulas lanjut, Faridah berkata, penubuhan organisasi latihan pada Ogos 2019 itu tercetus selepas beliau sendiri menghadiri seminar yang dianjurkan Pak Nasrullah di Indonesia.

Katanya, selepas melalui dan mengikuti sendiri latihan tersebut, beliau mengakui mendapat manfaat yang berguna.

“Harapan SST tentulah untuk membantu rakyat Malaysia belajar ilmu ini (magnet rezeki) kerana kami sendiri menyedari bahawa hanya insan yang baik dan cemerlang boleh memainkan peranan mereka sebagai khalifah yang cemerlang serta terbaik.

“Sebanyak 80 peratus minda masyarakat kita yang negatif sebenarnya berpunca daripada hati yang kotor, jadi program-program yang kita buat memberi fokus untuk membersihkan hati dan minda,” katanya.

Lebih 2,000 peserta mengambil bahagian pada Mega Seminar Magnet Rezeki Reset Minda anjuran Syakirin Souls Transformation (SST) di Bangi Aveneu Convention Centre semalam. - FOTO ROSLI TALIB
Lebih 2,000 peserta mengambil bahagian pada Mega Seminar Magnet Rezeki Reset Minda anjuran Syakirin Souls Transformation (SST) di Bangi Aveneu Convention Centre semalam. - FOTO ROSLI TALIB

Faridah berkata, SST turut menyasarkan seramai dua juta rakyat Malaysia akan mendapat ilmu Magnet Rezeki Reset Minda dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, Dr Muhaya berkata, gabungan beliau dan Pak Nasrullah mempunyai hala tuju yang sama.

“Kelebihan saya adalah penyucian minda dan Pak Nasrullah pula mahir mengendalikan kursus menggunakan al-Quran serta hadis.

“Itulah kelebihan beliau yang membuat kami bersedia menjalinkan kerjasama,” katanya.

Menurutnya, kekuatan program itu juga turut memberi fokus agar kembali kepada al-Quran.