Skim pelaburan mesin layan diri rekod kerugian RM6.78 juta

KUALA LUMPUR - Polis menerima 58 laporan dengan nilai kerugian RM6.78 juta berkaitan skim pelaburan mesin layan diri membabitkan sebuah syarikat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan siasatan, syarikat terbabit menawarkan beberapa pakej pelaburan dengan keuntungan berbeza mengikut pakej disertai.
Menurutnya, bagaimanapun keuntungan yang dijanjikan gagal dibayar dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Kebanyakan pelabur didapati tidak mengetahui sama ada mesin layan diri yang didakwa penganjur benar-benar wujud atau sebaliknya.
"Diingatkan, keputusan menyertai mana-mana skim pelaburan khususnya pelaburan berkaitan perkongsian perniagaan seperti mesin layan diri ini hendaklah dibuat dengan amat berhati-hati," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, lakukan semakan mengenai kewujudan mesin yang didakwa selain sahkan lokasi mesin itu diletakkan dan sebagainya.
Jelasnya, sebaiknya terlibatlah secara langsung dalam perniagaan dan tidak hanya meletakkan kepercayaan kepada pihak ketiga yang tidak dikenali.
"Seandainya berlaku kejadian di luar jangka seperti penipuan, individu yang terkesan boleh membuat aduan kepada agensi penguat kuasa seperti polis, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan seumpamanya," katanya.
Tegas Ramli, individu terkesan juga boleh memfailkan tuntutan terhadap syarikat penganjur di mahkamah sivil bagi mendapatkan semula kerugian yang dialami.
"Tindakan membuat aduan kepada agensi bukan kerajaan (NGO) tidak akan membantu sama ada mendapatkan semula kerugian mahu pun mempercepatkan siasatan oleh agensi penguatkuasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!