Israel perlu bayar AS$100 bilion sebagai pampasan - Erdogan

Erdogan tiba di Sepang bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia. Foto Bernama
Erdogan tiba di Sepang bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Israel dituntut untuk membayar pampasan AS$100 bilion ke atas kemusnahan yang rejim itu lakukan sepanjang 471 hari serangan terhadap Gaza.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan, perbuatan Israel itu tidak boleh dibiarkan seolah-olah tiada apa yang berlaku selepas melakukan kemusnahan, penderitaan dan kekejaman yang besar.

"Daripada mencari tempat untuk penduduk Gaza yang tidak dapat diusir dari tanah mereka walaupun dengan pembunuhan beramai-ramai dalam tempoh 15 bulan, Benjamin Netanyahu harus mencari sumber untuk menampungnya.

"Setiap kerosakan yang tidak dibayar akan menjadikan pelakunya lebih ganas," katanya.

Ucap beliau menerusi syarahan umum di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin dan disambut tepukan gemuruh lebih 3,000 hadirin.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan menteri Kabinet.

Menyifatkan Israel tidak tahu malu dengan meneruskan kelakuan bertentangan undang-undang, cadangan mengusir rakyat Palestin dari tanah air yang didiami mereka selama ribuan tahun adalah suatu perkara tidak boleh diterima.

"Insya-ALLAH tiada siapa yang boleh atau mampu untuk menimpakan peristiwa Nakba kedua kepada rakyat Palestin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar Erdogan, dua juta orang terperangkap dalam 360 kilometer persegi dibunuh secara beramai-ramai merupakan suatu tindakan paling kejam pada abad ini.

Lebih 61,000 orang yang tidak bersalah telah syahid di Gaza manakala fasiliti awam seperti sekolah, gereja, masjid, universiti dibom.

"Hampir 80 peratus bangunan di Gaza musnah dengan lebih daripada 50 juta tan serpihan," jelas beliau.

Katanya, walaupun berdepan dengan kekejaman itu, rakyat Palestin tanpa mengira usia terus mempertahankan maruah mereka dengan tidak menyerah serta tidak meninggalkan tanah air.

"Berkat perjuangan Hamas, Israel gagal mencapai matlamat strategiknya.

"Hasilnya, perjanjian gencatan senjata telah dicapai pada 19 Januari lalu antara Hamas dan Israel, turut disumbangkan oleh kami," katanya.

Erdogan berkata, kejayaan pembinaan dan pemulihan Gaza boleh dicapai dalam masa singkat dengan wang pampasan yang dibayar Israel.

"Begitu juga rumah, tanah dan tempat kerja yang dirampas oleh Israel harus dikembalikan kepada rakyat Palestin," ujarnya.

Dalam pada itu, Erdogan menjelaskan adalah penting untuk semua pihak meningkatkan usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Menerusi syarahan sama, Erdogan turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia yang menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini.

Beliau berharap kepimpinan Malaysia akan menjadi pemangkin dalam memperkukuhkan hubungan antara Turkiye dan ASEAN.

"Kami sentiasa bertindak dalam solidariti penuh dengan Malaysia dalam banyak isu, terutama yang melibatkan dunia Islam.

"Saya amat menghargai sokongan Malaysia terhadap Gaza dan perjuangan rakyat Palestin.

"Saya juga menyambut baik pendirian teguh Malaysia dalam memerangi Islamofobia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!