Bomba Kedah tambah pasukan bomba sukarela

ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah akan berusaha memendekkan tempoh masa bertindak atau ‘respond time’ terhadap panggilan kecemasan.
Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, sasaran adalah untuk memastikan setiap ‘respond time’ dibuat di bawah tempoh 9 minit 30 saat.
Menurutnya, antara usaha dilakukan termasuk menambah empat lagi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) baharu pada tahun ini agar dapat bertindak lebih cepat terhadap panggilan kecemasan
“Bagi peratus pencapaian kes dihadiri bawah 10 minit pada tahun lepas adalah 47.55 peratus dengan purata respond time 11 minit 43 saat, iaitu 2 minit 8 saat meningkat berbanding tahun 2023 (9 Minit 35 saat).
“Peningkatan ketara ini bukan sahaja memperbaiki purata respond time JBPM Kedah pada tahun 2023 malah berjaya mengekalkan prestasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi National Average Response Time (NART) yang ditetapkan, iaitu bawah 9 minit 30 saat.
“Semua pihak perlu berganding bahu dan sentiasa siap siaga bagi meningkatkan pencapaian Respond Time,” katanya pada sidang akhbar sempena perhimpunan tahunan 2025 JBPM Kedah di sini pada Isnin.
Awang Hidzel berharap dengan adanya PBS yang bakal beroperasi di Pulau Tuba, Langkawi; Ulu Bakai, Baling; Padang Serai, Kulim Hi-Tech serta UUM, Bukit Kayu Hitam akan dapat mencapai respond time lebih baik.
“Jumlah keseluruhan PBS di Kedah akan menjadi 44 pasukan. Ia akan mengukuhkan lagi kesiapsiagaan bomba dalam memberikan perkhidmatan kecemasan lebih pantas dan berkesan.
“Mereka membantu kita terutama bagi kawasan jauh dari balai bomba sedia ada. Sebahagian PBS miliki peralatan jentera dan pam sendiri malah dilengkapi peralatan terkini pemadaman api.
“Baru-baru ini kita berikan sedikit peruntukan untuk renovasi beberapa balai bomba sukarela. Kedah, Perlis dan Pulau Pinang antara negeri aktif PBS,” katanya.
Dalam pada itu, Awang Hidzel memaklumkan, JBPM Kedah menerima jentera CFRT (Community Fire Response Team) iaitu kenderaan respons kecemasan jenis kompak dilengkapi pam air jentera dan pam angkut, alat pemadam dan peralatan penyelamatan asas, bagi menangani kebakaran dan kecemasan di kawasan sukar diakses.
“Ini juga akan menyumbang ke arah peningkatan respond time kita. Kedah dijangka menerima 10 buah jentera CFRT secara berfasa yang akan ditempatkan di beberapa buah balai bomba berdasarkan julat panggilan serta faktor demografi dan geografi,” katanya.
Menurutnya lagi, dari aspek keselamatan kebakaran pula, sistem ePremis dilaksanakan bermula awal tahun lepas.
“ePremis adalah sistem dalam talian dibangunkan oleh JBPM untuk memudahkan proses permohonan berkaitan keselamatan kebakaran, termasuk pendaftaran profesional, perakuan keselamatan kebakaran dan perakuan pelesenan penggunaan premis.
“Ia selari dengan inisiatif pendigitalan perkhidmatan awam, kita komited memperkasakan sistem ini dalam meningkatkan kecekapan pemprosesan permohonan, mempercepatkan kelulusan serta memastikan pematuhan keselamatan kebakaran dapat dipantau lebih sistematik selain dapat mengurangkan birokrasi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!