Perlis tidak membolehkan Muslim terlibat ritual agama lain

Mohd Asri
Mohd Asri
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis 2017 menetapkan bahawa seseorang Muslim tidak boleh hadir serta melakukan ritual agama lain selain Islam.

Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza menjelaskan, bagaimanapun sekiranya kehadiran seseorang Muslim itu dalam acara ritual agama lain mempunyai tujuan sebaliknya seperti faktor keselamatan, kesihatan atau tugasan lain termasuk pemimpin, ia bukanlah disifatkan sebagai menyamai penganut agama tersebut.

"Kalau hadir bukan untuk menyamai kaum agama lain atau ritual agama lain tetapi hadir sebagai pemimpin yang mempunyai kehormatan, kekuatan, melainkannya diperlukan oleh rakyatnya dan mereka itu sebahagian daripada rakyatnya, maka dia ada atas keadaan seperti itu, maka itu tidak termasuk dalam ritual agama.

"Maksudnya Fatwa Perlis memfokuskan tidak boleh melakukan ritual agama lain, bukan larangan langsung pemimpin tidak boleh pergi tetapi kalau pergi atas kapasiti apa?" katanya menerusi video yang dimuat naik di platform Dr MAZA Channel pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, beliau menyarankan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menzahirkan pandangan yang lebih progresif dalam isu berkenaan berbanding mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat.

Mohd Asri mendakwa, terdapat beberapa isu yang pernah dikemukakan Mohd Na'im sebelum ini telah mendatangkan kegusaran masyarakat termasuk isu Rang Undang-undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dan terkini, garis panduan bagi acara bukan Islam.

"Apa yang kita faham dari apa yang disebut oleh Menteri Agama ada sikit beda, beliau macam menyebut bahawasanya pihak agama lain, penganjur juga perlu dapat pandangan dari pihak autoriti agama jika babit jemputan orang Islam dan seumpamanya. Saya ingat pertamanya nak menyuruh agama lain mendapat pandangan atau kelulusan atau apa sahaja daripada pihak autoriti agama, nampak janggal.

"Kalau jemput orang Islam, orang Islam tu la kena tentukan...dia nak pergi sebab apa, apa kepentingan...macam pemimpin ada kepentingan nak pergi sebab rakyat bukan nak sembahyang (ritual)," katanya.

Mohd Asri mendakwa, kemungkinan cara yang disebutkan Mohd Na'im disifatkan telah menimbulkan kegusaran dan salah faham.

Artikel Berkaitan:

"Saya bukanlah tidak berpihak kepada yang menentang ataupun sesiapa tetapi cara yang beliau kemukakan mungkin boleh menimbulkan salah faham, orang Islam secara asasnya faham tidak boleh lakukan ritual agama lain," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Asri turut meminta agar lebih baik sekiranya Menteri Hal Ehwal Agama tersebut memberi pandangan atau langkah terbaik menzahirkan keharmonian atau sifat progresif dan sederhana dalam masa sama memenuhi tuntutan syariat.

"Saya ingat sebagai posisi yang beliau berada itu elok beliau membantu kerajaan bagi menyelesaikan masalah, memberi pandangan yang lebih selesaikan masalah, sesuai dengan kedudukan itu sebab kalau setiap kali pandangan yang dikeluarkan hanya menimbulkan polemik di kalangan orang Islam...bukan Islam, kita tak mahu orang bukan Islam campuri urusan kita, urusan agama, kita pun tak payah campuri urusan yang bukan (berkaitan dengan) kita," katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar Mohd Na'im menerima pandangan pelbagai pihak, menyemak fatwa negeri-negeri terlebih dahulu dan menyelaraskannya sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelakkan polemik berpanjangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!