KPDN tahan lelaki simpan satu tan LPG nilai RM10,000

KUALA KRAI - Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menyimpan lebih satu tan Gas Petroleum Cecair (LPG) yang dianggarkan bernilai RM10,000 dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Taman Sri Guchil, di sini pada Ahad.
Lelaki berusia 56 tahun itu dicekup pada jam 10.04 pagi semasa operasi dijalankan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Cawangan Kuala Krai.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, hasil siasatan awal berjaya merampas 50 tong LPG 14 kilogram (kg) seberat 700kg dan 29 tong LPG 12kg seberat 348kg.
"Turut disita ialah tiga kenderaan, iaitu sebuah lori jenis Isuzu dan Daihatsu, serta motosikal Honda Wave, dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut.
"Selain itu kami turut merampas dua resit belian, sebuah buku catatan pesanan pelanggan, dan satu bil elektrik bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, kes terbabit disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

