Lelaki ditahan seludup barangan runcit

KOTA BHARU - Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan penyeludupan barangan runcit berjumlah RM8,680 dalam dua serbuan berasingan di Rantau Panjang dan Tumpat.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan berkata, dalam serbuan pada Jumaat di pangkalan haram Lubok Gong, Rantau Panjang pihaknya merampas barangan runcit termasuk kosmetik bernilai RM2,500.

"Rampasan ini dilakukan menerusi Op Taring Wawasan selepas melakukan rondaan di kawasan pangkalan haram itu," katanya.
Menurut beliau, semasa melakukan rondaan anggota bertugas telah menjumpai barangan tersebut yang telah ditinggalkan di situ.
Ujarnya, pada Sabtu anggota PGA telah menahan sebuah kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Kubang Panjang, Tumpat.
Nik Ros Azhan memberitahu, seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai menjadi penghantar barangan runcit tersebut ke pasaran tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, anggaran rampasan keseluruhan bernilai RM6,180 dan kes disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983.
"Suspek dan barang rampasan dibawa ke Komtak (Kompeni Taktikal) PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!