'Saya minta duit RM100, ugut bunuh sebab dia hutang saya'

Mohd Zakuan (kanan) meninggalkan mahkamah selepas dihukum. Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Zakuan (kanan) meninggalkan mahkamah selepas dihukum. Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - “Saya minta duit RM100 dan ugut bunuh sebab dia berhutang dengan saya.”

Itu rayuan seorang pekebun pisang di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Isnin sebelum dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM3,000 atas kesalahan melakukan pemerasan menggunakan parang terhadap seorang wanita warga emas di Kampung Lubok Simpol, Kuala Krai, bulan lalu.

Hakim Zulkifli Abllah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zakuan Jaafar, 38, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan pemerasan terhadap wanita berusia 62 tahun itu menyebabkan mangsa ketakutan akan dibunuh sehingga mendorong warga emas itu menyerahkan wang tunai RM100.

Perbuatan terbabit dilakukan di sebuah kedai makan di Kampung Lubok Simpol di Kuala Krai pada jam 11 pagi pada 28 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 386 Kanun Keseksaan memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Zakuan juga meminta maaf dan memohon hukuman ringan dikenakan terhadapnya selain hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap 28 Januari lepas serta ditempatkan di Penjara Machang kerana perlu mendapatkan rawatan kaki yang sakit.

Hakim kemudian membenarkan hukuman dijalankan di penjara terbabit dan menetapkan penjara tambahan 12 bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda.

Artikel Berkaitan:

“Perbuatan yang kamu lakukan ini serius dan tinggalkan kesan trauma terhadap mangsa lebih-lebih lagi dia wanita.

“Ambil pengajaran, negara ada undang-undang dan tak boleh ambil tindakan sendiri,” kata Zulkifli.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!