CPI bukan pengukur rasuah sebenar

SHAH ALAM - Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tidak boleh dijadikan satu-satunya indikator untuk menilai tahap kepincangan tatakelola dan rasuah dalam sesebuah negara.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, ini kerana dapatan data untuk indeks itu dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Ketika diperkenalkan pada tahun 1995, Malaysia pernah berada di kedudukan 23 dari 41 negara yang dikaji dan kemudiannya merosot sehingga ke-56 daripada 178 negara pada 2010.
“Salah laku amalan pendemokrasian perlu pamer ketelusan, akautabiliti dan kompetensi untuk membasmi secara total terutama membabitkan kuasa, kedudukan dan ikatan dalam perniagaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini media melaporkan, kedudukan Malaysia dalam CPI tahun 2023 meningkat empat anak tangga dari 61 pada tahun 2022, kepada 57 meliputi 180 negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilapor berkata, kedudukan itu bukti usaha kerajaan memperbaiki tadbir urus dan ketelusan berhasil.
Mengulas lanjut, Sivamurugan berpandangan, trend tersebut menunjukkan kerajaan mahu terus membaiki kedudukan negara dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Persepsi masyarakat seolah-olah rasuah mudah berlaku dalam sektor awam sedangkan ia turut melibatkan sektor lain.
“Apabila lebih ramai ‘ikan paus’ diheret ke muka pengadilan berbanding ‘ikan bilis’ sebelum ini, ia sedikit sebanyak mempengaruhi pandangan awam ke atas gejala rasuah,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau menegaskan, tugas memerangi rasuah bukan hanya tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi memerlukan kerjasama dari semua pihak.
Menurutnya, pelbagai kaedah, pendekatan dan metodologi telah dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa itu namun masih menuntut komitmen serta iltizam daripada semua struktur dan institusi.
“Pendidikan secara berterusan oleh SPRM dan langkah pencegahan sedia ada boleh ditambah baik secara berkala dan berterusan dengan mendekati pelbagai kumpulan sasar.
“Pemberi rasuah juga perlu didakwa kerana keyakinan akan bertambah jika ia ditolak bersama khususnya dalam kalangan generasi muda,” tegasnya.

Sementara itu, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan memaklumkan, pihaknya akan mengumumkan laporan CPI dan Rasuah di Malaysia pada Selasa ini.
Selain itu beliau berkata, pengumuman yang akan dibuat pada jam 12.45 tengah hari itu nanti turut melibatkan usaha-usaha kerajaan dalam menangani isu berkenaan.
“CPI merupakan satu indikator agregat dari sembilan sumber global yang meninjau persepsi pakar perniagaan dari 180 negara mengenai rasuah di sektor awam.
“Walaupun dipanggil Corruption Perceptions Index, ia bukan hanya bergantung kepada tindakan dan tangkapan yang dibuat oleh SPRM.
“Ia turut dipengaruhi oleh kesungguhan kerajaan untuk menangani rasuah, kehendak kerajaan untuk membuat perubahan, tingkatkan tatakelola, kecekapan dan kurangkan birokrasi di sektor awam,” jelasnya.
SKOR CPI
- Indeks Persepsi Rasuah (CPI) merupakan indikator agregat dari sembilan sumber global yang meninjau persepsi pakar perniagaan dari 180 negara mengenai rasuah di sektor awam.
- Indeks ini tidak hanya bergantung kepada tindakan dan tangkapan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi turut dipengaruhi oleh kesungguhan kerajaan menangani rasuah, kehendak kerajaan untuk membuat perubahan, tingkat tatakelola, kecekapan dan kurangkan birokrasi dalam sektor awam.
- Skor hampir 0 bermaksud sangat korup manakala 100 bersih dan bebas dari rasuah.
APA YANG DIUKUR OLEH CPI
- Rasuah
- Penyelewengan dana awam
- Penguatkuasaan mekanisme integriti
- Komitmen memerangi rasuah
- Sekatan ke atas kebebasan bersuara
- Penggunaan jawatan untuk kepentingan peribadi
- Akses kepada maklumat bagi NGO
- State capture
- Pendakwaan pegawai korup
- Bebanan birokrasi yang berlebihan
- Undang-undang pendedahan kewangan
- Perlindungan terhadap pemberi maklumat
TIDAK DIUKUR
- Pandangan atau pengalaman rakyat tentang rasuah
- Penipuan cukai
- Aliran wang haram
- Pemboleh/penyebab rasuah
- Pengubahan wang haram
- Sebarang jenis rasuah dalam sektor swasta
- Ekonomi dan pasaran tidak formal
*Sumber: Transparency International Malaysia (TI-M)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
