'Amaran, urusan agama kami, bukan urusan kamu’ - Dr Akmal Saleh

Akmal Saleh
Akmal Saleh
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memberi amaran kepada Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Woo Kah Leong supaya tidak mencampuri perkara berkaitan agama Islam.

Menurut Muhamad Akmal, prinsip UMNO adalah untuk menjaga agama bangsa, tanah air dan bukan hanya berpolitik semberono.

“Semalam satu kenyataan daripada Ketua Pemuda DAPSY yang kononnya menasihatkan saya untuk jangan bersikap lebih ‘Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) daripada Ketua Pemuda PN sendiri’.

“Mana-mana pihak yang cuba mencampuri urusan agama, bangsa kami tidak kira siapa pun mereka, maka ia menjadi tanggungjawab kami untuk lawan mereka.

“Apabila kamu campur urusan agama kami, maka menjadi tanggungjawab kami orang Melayu Muslim mempertahankannya, dan bagi orang Melayu Muslim seperti kami, agama bangsa melebihi daripada parti politik,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Kah Leong meminta Muhamad Akmal untuk berhenti daripada meneruskan polemik berhubung garis panduan Muslim hadiri majlis perayaan bukan Islam.

DAPSY dalam satu kenyataan berkata, sebagai seorang ahli kerajaan dan UMNO, Muhamad Akmal seharusnya akur dengan keputusan Kabinet serta menghormati konsensus yang telah dicapai.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal menegaskan, sekiranya sayap parti politik tersebut terus mengganggu gugat dan mencampuri urusan agama Islam, tidak mustahil mereka akan kekal menjadi pembangkang selamanya.

Artikel Berkaitan:

“Sekali lagi amaran kami berikan kepada kamu, urusan agama kami adalah urusan kami bukan urusan kamu dan selama ini, kami tidak pernah sentuh urusan agama kamu.

“Jangan terkejut satu hari nanti kamu akan kekal menjadi pembangkang buat selamanya jika kamu terus menerus mengganggu gugat dan mencampuri urusan agama bangsa kami.

“Sekali lagi saya ulang, orang melayu ini kepentingan menjaga agama bangsa adalah melebihi dari parti politik. Kaduk naik junjung,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!