'Pertahan agama, bangsa itu tanggungjawab, bukan untuk disukai' - Dr Akmal

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng yang mendakwa beliau tidak disukai orang Melayu.
Muhamad Akmal berkata, perjuangannya demi mempertahankan agama dan bangsa bukan untuk disukai ramai.
Menurutnya, ia dilakukan atas sebab rasa tanggungjawab menjaga kesucian agama dan bangsa.
"Kamu sentuh dan perlekehkannya, kami akan lawan kamu habis-habisan tidak kira kamu dari parti apa.
"Cuba renung juga, dua kerusi yang kamu menang itu di kawasan apa? Takut-takut kamu terlupa dan saya ingatkan," katanya menerusi laman Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, Teik Cheng berkata, Akmal harus merenung mengenai hal orang bukan Melayu berpandangan negatif terhadapnya.
Jelasnya, kata-kata dan tindakan Akmal telah berulang kali mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.
Akmal turut mengingatkan Teik Cheng agar menemani Law Yiak Kwang di mahkamah.
"Jangan lupa juga, nanti temankan kawan kamu Yiak Kwang di mahkamah," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!