Akmal Saleh perlu henti polemik, akur isu garis panduan - DAPSY

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) meminta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk berhenti daripada meneruskan polemik berhubung garis panduan Muslim hadiri majlis perayaan bukan Islam.
Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) meminta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk berhenti daripada meneruskan polemik berhubung garis panduan Muslim hadiri majlis perayaan bukan Islam.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) meminta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk berhenti daripada meneruskan polemik berhubung garis panduan Muslim hadiri majlis perayaan bukan Islam.

DAPSY dalam satu kenyataan berkata, sebagai seorang ahli kerajaan dan UMNO, Dr Muhamad Akmal seharusnya akur dengan keputusan Kabinet dan menghormati konsensus yang telah dicapai.

Menurutnya, jika masih ingin bertindak seolah-olah sebagai ejen Perikatan Nasional (PN), lebih baik Dr Muhamad Akmal letak jawatan dan menyertai Pas daripada terus menjadi musuh dalam selimut dalam kalangan Kerajaan Perpaduan.

Beliau menegaskan, ketenteraman, perpaduan dan keharmonian antara kaum adalah paling diperlukan oleh negara kita pada saat ini.

"Cukup, tidak perlu lagi pertengkaran yang tiada sebarang manfaat.

"Cukup-cukuplah berlagak sebagai 'hero' yang seolah-olah anti Kerajaan Perpaduan atau anti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Negara ini tidak memerlukan 'hero' yang cuba merosakkan perpaduan nasional atau menolak segala cadangan baik daripada kerajaan.

"Beliau sepatutnya berpolitik dengan lebih matang, berhemah, dan profesional, bukan menjadikan setiap isu sebagai perkauman dan keagamaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Jemaah Menteri pada Jumaat memutuskan tiada keperluan untuk mewujudkan garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata, perkara itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet pagi ini dan akan dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

DAPSY menegaskan, persepsi dan tanggapan garis panduan bukan soal golongan bukan Islam adalah tidak betul.

"Hal ini demikian kerana garis panduan tersebut berpotensi menyulitkan dan menyusahkan pihak penganjur bukan Islam yang ingin menjemput rakan-rakan Muslim untuk sama-sama menyertai majlis perayaan dengan niat baik dan hati terbuka.

"Wujudnya karenah birokrasi yang rumit, setentunya ini akan menjadikan pihak penganjur tidak mengundang masyarakat Muslim dan sekali gus menjejaskan interaksi antara kaum pada masa depan.

"Dalam masa sama, tindakan Muhamad Akmal seolah-olah sedang mempertikaikan dasar Kerajaan Barisan Nasional yang terdahulu khususnya dari tahun kemerdekaan sehinggalah tahun 2018," ujarnya.

DAPSY juga menjunjung tinggi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak bersetuju dengan cadangan pengemukaan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam.

"Titah baginda adalah contoh kebijaksanaan institusi diraja dalam menjaga keharmonian agama dan hubungan antara kaum di negara kita," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!