Bekas Pengarah YBNT didakwa kendali pakej umrah tanpa lesen

Tertuduh, Mohd Adam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengendalikan pakej umrah tanpa lesen yang sah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Tertuduh, Mohd Adam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengendalikan pakej umrah tanpa lesen yang sah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
A
A
A
BESUT - Bekas Pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) yang sebelum ini didakwa atas 76 tuduhan menipu dalam urusan pakej umrah, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan mengendalikan pakej umrah tanpa lesen yang sah.

Mohd Adam Mohd Ghazali, 32, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengendalikan pakej umrah tanpa lesen yang sah dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 12 tengah hari, 31 Oktober 2016 di Wisma Yayasan Bakti Negara Terengganu di Besut, di sini.

Pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 5(2)(a) Akta Industri Pelancongan 1992 yang disabitkan kesalahan, boleh dihukum denda RM500,000 atau penjara 10 tahun.

Hakim, Wan Azimah Yaacob menetapkan sebutan kes pada 23 Mac depan dan memerintahkan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Natrah Fareha Rahmat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 16 dan 17 Julai tahun lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas 76 pertuduhan sehingga menyebabkan kerugian hampir RM300,000.

Sebelum ini, tertuduh dilepaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan Timbalan Pendakwaraya namun menghilangkan diri daripada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, dia berjaya ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu di sebuah rumah di Damansara, Kuala Lumpur pada 11 Julai lalu.
Artikel Berkaitan: