Trump teruk dikecam

THE HAGUE - Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan puluhan negara mengecam sekatan yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berhubung siasatan yang menyasarkan Amerika dan Israel.
Pada masa sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) menggesa Trump untuk membatalkan pembekuan aset dan larangan perjalanan terhadap pegawai ICC, pekerja dan keluarga mereka dan sesiapa sahaja yang dianggap telah membantu siasatan ICC.
Sekutu AS, termasuk Britain, Perancis dan Kanada ialah antara 79 daripada 125 negara anggota ICC yang berkata tindakan AS boleh menjejaskan keselamatan mangsa, saksi dan pegawai mahkamah.
Trump pada Khamis menandatangani perintah eksekutif mengatakan bahawa ICC yang diasaskan pada 2002 untuk menyiasat pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan telah menyalahgunakan kuasanya dengan mengeluarkan waran tangkap untuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang mengadakan perbincangan dengan Presiden AS pada hari Selasa lalu.
ICC yang berpangkalan di The Hague, Belanda berkata sekatan itu bertujuan untuk memudaratkan kerja kehakimannya yang bebas dan tidak berat sebelah.
Bagaimanapun, ia berikrar untuk berdiri utuh dengan kakitangan yang memberikan keadilan dan harapan kepada jutaan mangsa kekejaman yang tidak bersalah di seluruh dunia.
Presiden ICC, Tomoko Akane berkata ancaman dan tindakan paksaan seperti itu merupakan serangan serius terhadap pihak mahkamah, kedaulatan undang-undang berdasarkan perintah antarabangsa dan jutaan mangsa.
Justeru, PBB menggesa Trump untuk membatalkan langkah itu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
