'Satu keluarga, satu hafiz'

JELEBU - Rumah Ngaji Negeri Sembilan mengorak selangkah ke hadapan dengan menggerakkan gelombang menghafal al-Quran di sini dalam usaha melahirkan satu hafiz atau hafizah dalam sebuah keluarga menjelang tahun 2050.
Penyelarasnya, Gharizah Hashim berkata, ia selepas 10 tahun pihaknya menggerakkan gelombang baca, faham, amal al-Quran dan kini sudah tiba masanya gelombang menghafal digerakkan.
"Maka kita bersenergi dengan Karantina Tahfiz al-Quran Nasional Kuningan, Indonesia supaya kita dapat mencapai misi berkenaan melalui Program Karantina Tahfiz al-Quran 1.0 yang berlangsung selama dua minggu.
"Program bersempena cuti sekolah ini membabitkan 24 peserta dalam kalangan kanak-kanak seawal usia 10 tahun sehingga dewasa dengan peserta tertua kita berusia 80 tahun," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada majlis graduasi peserta program di Madrasah Tahfiz Yamin, dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Bakri Sawir; wakil Karantina Tahfiz al-Quran Nasional Kuningan, Indonesia - Mudir Ustaz Ma’mun al-Qurthuby; Pengasas Metode Yadain Litahfizhil Quran, Ustaz Yadi Iryadi; Muhaffizh Ustaz Muhammad Jamaluddin Nugraha; Muhaffizah -Ustazah Siska Damasra dan Ustazah Zaini Abd Rahim
Gharizah berkata, berharap usaha tersebut akan menjadikan al-Quran sentiasa di hati dan jiwa anak-anak termasuklah umat Islam secara keseluruhannya dalam apa juga pekerjaan asalkan ia berada dalam landasan yang betul.
"Menerusi kaedah kecepatan hafalan yang dikongsikan pihak Karantina ini para peserta mampu menghafal juzuk-juzuk al-Quran dengan lebih mudah. Apabila mereka tahu polanya mereka boleh buat hafalan dengan baik termasuk dari segi bacaan yang betul.
"Justeru tidak mustahil golongan seperti ini dapat dilahirkan dengan lebih ramai dalam setiap Rumah Ngaji yang dicetuskan oleh Datuk Hussamudin Yaacob," katanya.

Dalam pada itu, menurut ustaz Yadi sepanjang dua minggu program itu berlangsung kesemua peserta menunjukkan perkembangan yang sangat positif dalam menghafal al-Quran.
"Peringkat awalnya kita perbaiki dahulu bacaan al-Quran masing-masing sebelum diteruskan dengan hafalan yang mana ada seorang peserta sebelum itu menghafal tiga ayat ambil masa 21 minit.
"Apabila kita guna kaedah yang betul dia mampu menghafal lima ayat dalam lima minit. Kemajuan tersebut sangat positif sebab masing-masing menunjukkan semangat yang tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
