Hasrat empat sahabat pergi kenduri berakhir tragedi

KUALA KRAI - WhatApps seorang ibu bertanya keadaan anak bersama tiga rakan yang dalam perjalanan ke kenduri kahwin kawan universiti di Besut, Terengganu, terjawab dengan kemalangan mengorbankan dua daripada mereka di Kilometer 107 Jalan Kota Bharu-Gua Musang di sini pada Jumaat.
Wanita itu, Norlida Mustaffa, 56, menghantar pesanan ringkas kepada anak bongsu daripada dua beradik, Siti Nor Najihah Yasin, 27, yang cedera parah dalam kemalangan ketika berada di tempat duduk penumpang belakang sebelah kiri kereta jenis Perodua Axia.
Menurut Norlida, mesejnya pada jam 3.03 petang itu hanya sempat dibalas sekali oleh Siti Nor Najihah yang menghantar sekeping gambar menunjukkan sebuah stesen minyak Petron di Kuala Krai dan memberitahu dia berada di kawasan terbabit.

“Saya mesej tanya lagi, tetapi mesej dah tak berbalas dan tak lama selepas itu, pada jam 5.20 petang, ada orang awam menelefon suami saya beritahu mereka terbabit kemalangan.
“Mereka sepatutnya bermalam di rumah tumpangan di Besut dan hadir ke kenduri kahwin seorang lagi rakan karib mereka pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai di sini pada Sabtu.
Norlida berkata, anaknya sebaya dan bersahabat baik kerana sama-sama menuntut di Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebelum ini dengan Siti Nabila Draman juga penumpang belakang sebelah kanan yang maut dan Nurul Adila Sulaiman (penumpang hadapan mengalami cedera lembam muka dan patah tangan kiri).
Suami Nurul Adila, Muhammad Hakim Mohd Razid, 27, yang menemani mereka dengan memandu kereta terbabit juga maut.
“Saya sudah anggap Nurul Adila sebagai anak angkat dan kini berada dalam keadaan stabil di wad manakala Siti Nor Najihah pula baru selesai menjalani pembedahan di bahagian kepala bagi mengeluarkan darah beku.
“Siti Nor Najihah kini ditidurkan dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi HSIP,” katanya.

Norlida memberitahu, dia tiba di Kelantan jam 6.30 pagi Sabtu selepas bertolak dari dari Bangi, Selangor bersama suami, Yassin Shamsudin, 58, dan anak sulung, Emi Nur Suriyati,29.
Katanya, Nurul Adila berasal dari Sabah manakala Muhammad Hakim dari Sarawak.
“Kedua-duanya tiba dengan penerbangan dari Sarawak ke Selangor pada Khamis dan bermalam di rumah saya di Bangi.
“Mereka guna kereta anak sulung saya dan bertolak mengambil Siti Nabila di Puchung, Selangor pada jam 8 pagi dan terus perjalanan ke Besut, Terengganu,” katanya.
Kemalangan berlaku pada jam 4.40 petang itu dipercayai akibat kecuaian pemandu lori berusia 27 tahun yang memandu lori lima tan hingga terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta dinaiki empat mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!