Dua maut, dua parah nahas tiga kenderaan

KOTA BHARU - Dua maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah lori lima tan di Kampung Sungai Sam Jalan Kuala Krai-Gua Musang, pada Jumaat.
Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Razani Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui Sistem Mers 999 pada jam 4.50 petang sebelum bergegas ke lokasi.
Menurut beliau, seramai enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai dan tiga pasukan bomba sukarela ditugaskan ke kawasan kemalangan.
"Sebaik tiba di lokasi, terdapat empat individu berada di dalam kereta Perodua Axia.
"Seorang lelaki dan seorang wanita yang berada dalam kereta itu meninggal dunia manakala dua lagi cedera parah," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, seorang daripada mereka tersepit dan bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.
"Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Kuala Krai menggunakan ambulans manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Razani memberitahu, pemandu kereta Honda City yang juga seorang wanita tidak mengalami kecederaan manakala pemandu lori lima tan juga selamat.
Operasi tamat pada jam 7 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!