Kecuaian pemandu lori punca nahas dua maut, dua parah

KUALA KRAI - Kecuaian pemandu lori lima tan dipercayai punca nahas yang mengakibatkan dua maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan di Kilometer 107 Jalan Kota Bharu-Gua Musang di Kampung Sungai Sam di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, siasatan awal polis mendapati, kejadian berlaku apabila lori dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur terbabit bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Axia dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu.
“Kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu lori yang
terbabas masuk ke laluan bertentangan hingga kemalangan yang melibatkan kematian pemandu dan penumpang kereta Perodua Axia tersebut.
“Dua lagi penumpang Perodua Axia dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai untuk mendapat rawatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, beliau berkata, pemandu lori berusia 27 tahun berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan dan pihak polis masih menunggu laporan ujian saringan air kencingnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci akan dijalankan oleh pihak polis.
“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan untuk tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik Kuala Krai atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Amirul Izham Azian di talian 09-9666222,” ujarnya.
Sebelum ini, akhbar melaporkan dalam kemalangan pada jam 4.50 petang itu, kedua-dua mangsa yang berusia 27 tahun maut iaitu pemandu Perodua Axia terbabit, Muhammad Hakim Mohd Razid dan rakannya, Siti Nabila Draman yang berada di tempat duduk penumpang belakang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!