Pengalaman di INSTEP bantu ubah hidup Khairul Azhari

Khairul Azhari mengadakan perbincangan bersama kakitangannya di Kompleks Petronas Pantai Timur.
Khairul Azhari mengadakan perbincangan bersama kakitangannya di Kompleks Petronas Pantai Timur.
A
A
A

KEMAMAN – Memulakan kerjayanya sebagai seorang juruteknik, Khairul Azhari Ambak, 40, membuktikan anak kampung dari keluarga berpendapatan rendah juga mampu mendaki tangga kerjaya dengan usaha dan ketekunan yang tinggi.

Beliau yang merupakan graduan lepasan Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) menjadikan peluang keemasan melanjutkan pelajaran di institut tersebut sebagai jalan keluar untuk mengubah masa depannya menjadi lebih baik.

Khairul Azhari yang kini Pengurus Petronas Carigali Sdn Bhd, Aset Semenanjung Malaysia berkata, pengalaman di INSTEP banyak membentuk dirinya hari ini.

Mengimbau perjalanan selepas menamatkan pengajian di Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu, Khairul Azhari terpaksa menguburkan impian melanjutkan pelajaran ke menara gading, memandangkan perbelanjaan yang besar diperlukan untuk membiayai pengajian di universiti menjadi penghalang utama.

Menurut anak kesembilan dari 10 beradik itu, arwah ayahnya tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Adakala ayah bekerja sebagai petani serta mengambil upah menjadi tukang rumah untuk sara kami sekeluarga manakala ibu pula hanya seorang suri rumah.

“Alhamdulillah, saya terbaca peluang untuk sambung belajar di INSTEP melalui surat khabar dan tertarik dengan peluang dan manfaat diterima termasuk pembiayaan yuran pengajian, penginapan, makan minum disamping turut menerima elaun bulanan RM140 sebulan.

“Saya menganggap pengajian di INSTEP ibarat batu loncatan bagi saya untuk mengejar cita-cita saya hari ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kompleks Petronas Pantai Timur.

Justeru, Khairul Azhari yang berasal dari Kampung Pengkalan Arang, Batu Enam Kuala Terengganu itu menyatakan sebaik sahaja terpilih mengikuti Petronas Technician Training Scheme (PTTS) selama dua tahun di INSTEP.

Artikel Berkaitan:

Beliau tidak mensia-siakan peluang yang ada untuk belajar bersungguh-sungguh serta melakukan yang terbaik semasa latihan praktikal.

Mengulas lanjut, Khairul Azhari berkata, beliau suka cara pembelajaran di INSTEP kerana ia bukan hanya menekankan terhadap pembelajaran secara teori di kelas semata-mata malah turut mengajar pelajar supaya mempraktikkan kemahiran dan skil dipelajari menerusi pendedahan di lapangan.

Khairul Azhari di Kompleks Petronas Pantai Timur.
Khairul Azhari di Kompleks Petronas Pantai Timur.

“Tahun pertama kami belajar dalam kelas selama setahun dan selepas itu kami terus dihantar ke offshore untuk memerhati cara kerja juruteknik dan jurutera di pelantar.

Beliau yang merupakan bapa kepada empat anak berkata, apabila berpeluang pergi melihat sendiri kerja-kerja di lapangan, ia telah menambah lagi minat untuk belajar bersungguh-sungguh supaya dapat bekerja di situ suatu hari nanti.

“Selepas tamat belajar di INSTEP pada 2004, saya memulakan kerjaya sebagai kakitangan Petronas Carigali Sdn Bhd di pelantar Resak di Semenanjung Malaysia sebagai juruteknik.

“Sebenarnya juruteknik mempunyai perkembangan kerjayanya sendiri bermula penilaian dari tahap satu sehingga ke tahap lima menerusi program pembangunan kakitangan yang disediakan Petronas dalam meningkatkan kemahiran pekerja semakin mahir serta lebih berkebolehan melaksanakan sesuatu kerja.

“Alhamdulillah, saya telah berjaya menamatkan penilaian tersebut selama 10 tahun bermula dari tahun 2005 hingga 2015 dan secara tidak langsung ia membolehkan saya dinaikkan pangkat dari juruteknik kepada tahap penyelia bertaraf eksekutif,” ujarnya.

Pengorbanan yang berbaloi

Tidak berhenti di situ, Khairul Azhari mencabar dirinya dengan meyambung pengajian peringkat sarjana muda sebagai nilai tambah pada kerjaya.

“Saya mendaftar sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi secara jarak jauh di Open University pada tahun 2011. Sememangnya memang mencabar kerana perlu membahagikan masa antara belajar dengan bekerja di pelantar minyak.

“Segala penat lelah dan pengorbanan dilakukan selama empat tahun berbaloi apabila berjaya memegang ijazah sarjana muda pada tahun 2015.

“Setahun kemudian, saya mencabar diri sekali lagi mengambil Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan di University of Wales di kampus Kuala Lumpur dan berjaya menamatkan pengajian tersebut pada 2021,” katanya.

Khairul Azahari berkata, pada 2020, beliau dipindahkan ke pejabat untuk dinaikkan pangkat ke jawatan jurutera kanan projek selama setahun dan kemudian dihantar ke offshore untuk menjadi pengurus di sebuah pelantar minyak.

“Alhamdulillah, kini saya bertugas di pejabat semula untuk mengetuai Jabatan Pentadbiran sebagai Pengurus Pentadbiran, Petronas Carigali Sdn Bhd, Aset Semenanjung Malaysia pada awal Januari tahun lalu,” katanya.

20 tahun bersama Petronas

Kini selepas hampir 20 tahun berkhidmat, Khairul Azhari berterima kasih kepada syarikat minyak dan gas negara ini yang banyak memberi peluang pada setiap kakitangan untuk membangunkan kerjaya masing-masing samada di dalam aspek teknikal mahupun di dalam aspek pengurusan.

“Nasihat saya kepada anak muda di luar sana supaya sentiasa bersikap positif terhadap masa hadapan kita. Walaupun bermula dari bawah, selagi ada kesungguhan, kita mampu berjaya dalam apa sahaja bidang yang diceburi.

“Pelajar keluaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti INSTEP sangat beruntung kerana semenjak berada di institut berkenaan kita telah didedahkan dengan setiap aspek teknikal itu secara terperinci. Ia sangat membantu apabila kita memasuki fasa kerjaya nanti.

“Pengalaman pernah bekerja sebagai kakitangan bawahan sangat membantu kita untuk lebih menghargai kerja-kerja yang dilakukan oleh kakitangan kita, apabila kita menggalas jawatan sebagai ketua,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!