Tempoh sebulan, tipu pelaburan rekod kerugian RM125.7 juta

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jenayah penipuan pelaburan mencatatkan jumlah kerugian tertinggi lebih RM125.7 juta pada tahun ini setakat 2 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sejumlah 765 kes penipuan pelaburan telah dicatatkan dalam tempoh sama.

"Penipuan pelaburan merupakan salah satu kategori kes penipuan dalam talian yang mencatatkan peratusan kes yang membimbangkan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Ramli berkata, jumlah kerugian akibat jenayah komersial pula mencatatkan jumlah lebih RM260 juta dalam tempoh 33 hari.

"Sejumlah 5,153 kertas siasatan telah dibuka dengan nilai kerugian keseluruhan RM260,282,072.54," katanya.

Beliau berkata, jumlah kes yang dicatatkan menunjukkan peningkatan 26 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 4,088 kes.

"Jumlah kerugian bagaimanapun menunjukkan penurunan sebanyak tujuh peratus berbanding sejumlah RM279,819,460.06 yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu," katanya.

Ramli berkata, mengikut analisis JSJK, penipuan dalam talian merupakan penyumbang terbesar kepada kes-kes jenayah komersial.

Artikel Berkaitan:

"Trend ini dijangka terus melonjak pada minggu-minggu akan datang. Umpamanya, sehingga minggu ke lima, sejumlah 4,532 kes penipuan telah direkodkan bersamaan 87.9 peratus dari keseluruhan kes yang dicatatkan.

"Manakala nilai kerugian mencecah RM195,341,348.10 atau bersamaan 75 peratus dari jumlah kerugian keseluruhan," katanya.

Ramli berkata, jenayah telekomunikasi mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 1,988 kes dengan jumlah kerugian RM49.6 juta.

"Belian 'online' (912 kes, RM6.2 juta), penipuan pelaburan (765 kes, RM125.7 juta), pinjaman tidak wujud (512 kes, RM3.7 juta), penipuan e-kewangan (253 kes, RM5.2 juta) dan 'love scam' (102 kes, RM4.9 juta).

Ramli berkata, pihaknya telah melaksanakan sejumlah 2,443 operasi dan berjaya memberkas sejumlah 2,523 individu atas pelbagai kesalahan jenayah komersial.

"Antara lain, sejumlah 1,315 pertuduhan juga telah berjaya diperoleh bersamaan 26 peratus dari keseluruhan kes yang disiasat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!