Hukum ziarah rumah terbuka bukan Islam harus

Hukum menziarahi rumah terbuka orang bukan Islam sempena perayaan agama lain adalah harus dengan mengambil kira beberapa kriteria. Gambar kecil: Mohd Sukki
Hukum menziarahi rumah terbuka orang bukan Islam sempena perayaan agama lain adalah harus dengan mengambil kira beberapa kriteria. Gambar kecil: Mohd Sukki
A
A
A

SHAH ALAM - Hukum menziarahi rumah terbuka orang bukan Islam sempena perayaan agama lain adalah harus dengan mengambil kira beberapa kriteria.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, kriteria tersebut termasuklah majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara yang bertentangan dengan akidah Islam seperti melibatkan simbol agama atau berhala.

Malah beliau berkata, majlis tersebut juga perlulah tidak disertakan dengan perbuatan bertentangan dengan syarak seperti memakai pakaian berwarna tertentu yang melambangkan kepercayaan terhadap agama selain Islam.

“Selain itu perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam di negara ini seperti percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan juga tidak boleh disertakan.

“Majlis juga tidak disediakan dengan makanan-makanan yang haram seperti arak dan babi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, hukum terlibat dalam persiapan perayaan orang bukan Islam yang berkaitan dengan agama mereka adalah diharamkan di sisi syarak dan pandangan para ulama mazhab.

“Namun, membantu mereka dalam perayaan kebudayaan memerlukan pemerhatian yang lebih terperinci.

“Ini kerana seseorang Muslim perlu mengenal pasti sejauh mana perayaan kebudayaan itu mempunyai unsur-unsur kepercayaan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Artikel Berkaitan:

“Jika unsur-unsur kepercayaan tersebut mendominasi maka seharusnya orang Islam hendaklah menjauhi tindakan membantu dan menjayakan persiapan perayaan tersebut,” jelas Mohd Sukki.

Kongsi beliau, sekiranya perayaan tersebut adalah semata-mata berbentuk kebudayaan maka penyertaan orang Islam adalah harus.

Katanya, bagi hukum menjual barangan khas digunakan orang bukan Islam dalam perayaan agama mereka pula adalah tertakluk kepada majlis itu tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam seperti menyertakan simbol-simbol agama dan berhala.

“Orang Islam boleh menjual barang-barang yang harus dijual kepada orang bukan Islam seperti pakaian dan makanan selagi mana tidak jelas perkara itu memberi kemaslahatan dalam upacara atau sambutan perayaan keagamaan mereka.

“Jika sudah jelas barang-barang tersebut digunakan untuk perayaan keagamaan orang bukan Islam, maka orang Islam perlu mengelakkan diri daripada terlibat,” katanya.

Beliau turut menjelaskan hukum orang Islam mengenakan pakaian untuk sambutan sesuatu perayaan bukan Islam adalah tidak dibolehkan.

“Hukumnya haram memakai pakaian khusus bagi sesuatu kaum tertentu jika mempunyai kaitan yang rapat dengan kepercayaan keagamaan mereka dan juga mendedahkan aurat seperti kostum atau topi Santa Claus, pakaian paderi, pakaian sami atau lambang salib,” kata beliau.

Bagaimanapun menurutnya, pakaian adat kaum lain yang tiada kaitan dengan ajaran agama secara khusus seperti sari, kurta, samfoo, dan cheongsam secara asasnya adalah harus selagi mana tidak terdapat unsur membesarkan agama orang bukan Islam dan memelihara aurat.

“Bagaimanapun, sebaiknya orang Islam elakkan diri daripada memakai pakaian tersebut pada hari perayaan orang bukan Islam atas dasar sadd al-zari’ah iaitu menutup sebarang peluang berlakunya tasyabbuh (meniru orang kafir),” katanya.

Ujar Mohd Sukki, Pulau Pinang mempunyai garis panduan sedia ada tentang perkara itu, namun untuk dilaksanakan di seluruh Malaysia bergantung kepada Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

“Setakat ini, Pulau Pinang tidak ada masalah ikut garis panduan ini,” katanya.

Semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengumumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memuktamadkan satu garis panduan khusus berkaitan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan selain Islam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!