Beza agama tidak patut jadi punca ketegangan - Dr Zulkifli

Dr Zulkifli (kiri) mengingatkan bahawa perbezaan agama atau bangsa tidak sepatutnya menjadi punca ketegangan, sebaliknya ruang untuk membina masyarakat yang lebih matang dan bersatu hati.
Dr Zulkifli (kiri) mengingatkan bahawa perbezaan agama atau bangsa tidak sepatutnya menjadi punca ketegangan, sebaliknya ruang untuk membina masyarakat yang lebih matang dan bersatu hati.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbezaan agama atau bangsa tidak sepatutnya menjadi punca ketegangan, sebaliknya ruang untuk membina masyarakat yang lebih matang dan bersatu hati.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sebagai sebuah negara yang majmuk, Malaysia perlu terus menjadi model dalam mengamalkan nilai toleransi, ihsan dan kehidupan bersama.

Menurut Zulkifli, beliau bersyukur kerana pernah diberi peluang memasuki gereja, gurdwara serta tokong, bahkan mewakili ulama dunia Islam dalam beberapa mesyuarat peringkat tertinggi antara Islam dan Gereja Roman Katolik di Vatican.

"Pada 2025 ini, marilah kita memperbaharui tekad untuk menjadi ejen perdamaian dan keharmonian.

"Cukuplah persengketaan yang kita lihat hari demi hari. Dunia perlukan lebih ramai insan yang bersedia untuk menjalin persaudaraan atas dasar nilai-nilai kemanusiaan yang luhur,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memuktamadkan satu garis panduan khusus berkaitan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan selain Islam.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, garis panduan itu akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126 yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Februari depan.

Perkara tersebut mengundang reaksi beberapa pihak bukan Islam yang tidak bersetuju dengan langkah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut Zulkifli, dalam dunia yang semakin kompleks dan penuh cabaran, nilai-nilai perpaduan kemanusiaan bukan sekadar idealisme tetapi satu keperluan yang harus diperjuangkan oleh setiap insan beragama yang mencintai kedamaian.

Katanya, pada Rabu, dunia memperingati 'International Human Fraternity Day', iaitu satu detik yang mengingatkan tentang kepentingan kerukunan, perpaduan dan keharmonian dalam beragama.

"Kepelbagaian bukan alasan untuk perpecahan, tetapi peluang untuk saling memahami dan melengkapi.

“Prinsip ini bukan sahaja harus diterapkan dalam interaksi sesama Muslim, tetapi juga dalam hubungan dengan penganut agama lain sebagaimana dicontohkan oleh Rasulullah SAW dalam Piagam Madinah, satu dokumen yang mengangkat asas keharmonian antara pelbagai komuniti di Madinah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!