Kes tembak Tanjung Rhu: Seorang lagi warga Indonesia maut, dua individu ditahan

Hussein (dua dari kanan) ketika sidang akhbar sempena Ops Palu sempena Thaipusam di Batu Cave pada Khamis.
Hussein (dua dari kanan) ketika sidang akhbar sempena Ops Palu sempena Thaipusam di Batu Cave pada Khamis.
A
A
A

GOMBAK - Seorang lelaki warga Indonesia yang cedera akibat ditembak ketika menyerang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Tanjung Rhu, sebelum ini meninggal dunia di Hospital Serdang pada Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek sebelum ini menerima rawatan di hospital berkenaan dan dilaporkan dalam keadaan kritikal.

"Dalam kejadian terbabit yang berlaku pada Jumaat lalu itu, seorang daripada mereka maut manakala empat lagi cedera selepas ditembak.

"Polis kemudiannya dimaklumkan salah seorang mangsa yang cedera itu meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Ops Palu sempena Thaipusam di Batu Cave pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Hussein berkata, dua lagi warga Indonesia ditahan dipercayai berada dalam bot ketika kejadian.

"Operasi dijalankan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pulau Carey sebelum ini berjaya memberkas beberapa individu dan semakan mendapati dua daripada mereka berada ketika kejadian berkenaan.

"Mereka yang ditahan ini berumur lingkungan 30an dan siasatan berkaitan kes ini masih dijalankan," katanya.

Menurutnya, seramai 31 individu termasuk warga Indonesia dan anggota Maritim Malaysia telah direkod keterangan berhubung kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Kertas siasatan bagi kes ini telah selesai dan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.

"Polis masih mengesan seorang lagi individu warga Indonesia bagi siasatan lanjut dan kita turut mendapat kerjasama yang baik daripada pihak kedutaan Indonesia berhubung kes ini," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Polis Selangor mengesahkan terdapat provokasi dilakukan sekumpulan PATI warga Indonesia hingga menyebabkan seorang daripada mereka maut manakala empat lagi cedera selepas ditembak pasukan penguat kuasa negara di perairan Tanjung Rhu, Banting, Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata, siasatan mendapati, terdapat kesan atau unsur bot dinaiki anggota Maritim Malaysia dilanggar dan siasatan ke atas bot PATI pula menemukan dua bilah parang.

Dalam pada itu, media turut melaporkan Indonesia menggesa Malaysia mengambil tindakan terhadap pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sekiranya terbukti mereka menggunakan kekerasan berlebihan rentetan insiden tembakan berkenaan.

Memetik laporan Antara News, Timbalan Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Christina Aryani berkata, kerajaan Malaysia diminta menyiasat kejadian tembakan membabitkan pegawai Maritim Malaysia dengan lima rakyat berkenaan.

Dalam masa sama, Malaysia turut memberi jaminan bahawa siasatan insiden tembakan membabitkan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, Banting akan dilakukan secara telus.

Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan agar laporan siasatan awal disampaikan kepada Indonesia melalui kedutaan.

Anwar berkata, pihaknya tidak mahu isu tersebut mengganggu hubungan baik kedua-dua negara.

Dalam pada itu, beliau menegaskan penguat kuasa Malaysia perlu mengikut undang-undang dalam menangani kemasukan PATI dan kegiatan penyeludupan di perairan negara ini.

Katanya, pihak berkuasa perlu bertegas untuk menghalang kegiatan seumpama itu daripada terus berlaku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!