Sindiket 'phone scam' datang rumah, minta pesara serah kad ATM

KUALA LUMPUR - Seorang pesara kerugian RM70,000 selepas menjadi mangsa sindiket 'phone scam' secara bersemuka yang menyamar sebagai pegawai polis di Sabah pada 15 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wanita berusia 61 tahun itu mendakwa suspek menghubungi mangsa dan memaklumkan nombor telefon mangsa didaftarkan atas satu akaun e-dagang yang menjual produk kecantikan tidak berdaftar.
"Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada sindiket yang menyamar sebagai pihak polis serta mendakwa mangsa mempunyai rekod jenayah dan terlibat aktiviti haram serta kesemua akaun pengadu akan dibekukan.
“Bagi mengelakkan wang mangsa dari dibekukan, mangsa dicadangkan untuk memindahkan semua wangnya ke akaun bank yang diberikan oleh sindiket," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini, pada Khamis.
Ramli berkata, suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dengan memakai pelitup muka telah datang ke rumah mangsa pada 16 Januari lalu.
"Mangsa telah diarahkan untuk menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Islam bagi tujuan memindahkan wang dari akaun tersebut ke akaun bank yang selamat,” katanya.
Menurut Ramli, pada 18 Januari lalu, suspek telah kembali ke rumah mangsa dan memulangkan kad ATM Bank Islam dan meminta mangsa untuk menyerahkan kad Maybank miliknya pula untuk tujuan yang sama.
“Pada 20 Januari lalu, mangsa telah dihubungi dan diminta untuk memindahkan kesemua wang dari akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) ke akaun Maybank miliknya.
“Namun mangsa mula curiga dan bercerita perkara tersebut kepada keluarganya yang kemudian menyedarkannya bahawa beliau telah ditipu,” katanya.
Beliau berkata, laporan mangsa diterima di Kota Kinabalu, Sabah pada 21 Januari lalu.
"Siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan," katanya.
Ramli turut menegaskan pindahan panggilan antara agensi khususnya dalam kes phone scam bukan cara kerja agensi kerajaan.
“Buat setakat ini, tidak berlaku panggilan dari Bank Negara Malaysia dipindahkan kepada pihak polis, mahkamah dan sebagainya.
“Justeru, sekiranya menerima panggilan yang meragukan dan dipindahkan dari satu agensi ke agensi lain, maka ia adalah penipuan.
"Segera tamatkan panggilan tersebut bagi mengelak dari menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
