MMKN Selangor setuju pinda Enakmen Mengawal Lembu Kerbau 1971

MMKN Selangor bersetuju untuk meminda Enakmen Mengawal Lembu Kerbau 1971 [Enakmen No 3 Tahun 1971] bagi mengatasi masalah lembu dan kerbau yang berkeliaran di sekitar negeri ini. Foto hiasan
MMKN Selangor bersetuju untuk meminda Enakmen Mengawal Lembu Kerbau 1971 [Enakmen No 3 Tahun 1971] bagi mengatasi masalah lembu dan kerbau yang berkeliaran di sekitar negeri ini. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor bersetuju untuk meminda Enakmen Mengawal Lembu Kerbau 1971 [Enakmen No 3 Tahun 1971] bagi mengatasi masalah lembu dan kerbau yang berkeliaran di sekitar negeri ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Datuk Ir Izham Hashim memaklumkan, pindaan itu termasuk menggubal kaedah pelesenan haiwan ternakan tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan negeri bakal mengambil tindakan jangka pendek untuk menyelesaikan isu berkenaan memandangkan proses pindaan tersebut memerlukan tempoh yang lama.

"Melalui pindaan ini, beberapa permasalahan dalam penguatkuasaan enakmen ini dijangka dapat diselesaikan, antaranya mengenal pasti pemilik lembu dan kerbau dengan menggunakan tanda pengenalan pada setiap haiwan terbabit.

"Tetapi, kerajaan negeri sedar proses ini akan mengambil masa lama, jadi tindakan jangka pendek bakal dilaksanakan iaitu operasi bersepadu melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

"Agensi ini akan bekerjasama dengan menggunakan undang-undang sedia ada yang boleh dikenakan ke atas pemilik haiwan tidak bertanggungjawab. Sebagai contoh PBT melalui Akta 171, DVS menerusi Akta 772 pemilikan haiwan yang bertanggungjawab dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada 19 Disember tahun lalu, kerajaan Selangor mengarahkan pihak Ladang SD Guthrie, Sabak Bernam supaya segera memindah dan mengosongkan lebih 1,000 lembu milik penternak yang berkeliaran sehingga mengakibatkan kemalangan maut.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail dilaporkan berkata, satu mesyuarat khas diadakan sebelumnya bersama pihak terlibat mengenai isu lembu ternakan yang dibiarkan bebas di tanah ladang itu.

Mengulas lanjut, Izham berkata, penternak sedia ada telah berubah kepada sistem yang lebih sesuai seperti penternakan intensif, namun terdapat segelintir pihak tidak berubah dan masih mengamalkan ternakan secara lepas bebas.

Artikel Berkaitan:

"Kita semua maklum Selangor merupakan negeri yang pesat membangun, kemajuan ini menyebabkan kawasan menternak yang sesuai semakin mengecil tetapi kerajaan tidak akan berkompromi dengan pemilik haiwan yang sewenang-wenangnya melepaskan lembu dan kerbau hingga menyebabkan masalah.

"Ia termasuk mengancam keselamatan jalan raya hingga menyebabkan kecederaan orang awam dan haiwan, kehilangan nyawa, pencemaran persekitaran dan kerosakan harta benda awam.

"Ini akibat daripada pemeliharaan lembu dan kerbau di suatu tempat atau tanah di dalam Selangor yang tidak mengikut lunas undang-undang sedia ada," katanya.

Tambah Izham, Selangor secara keseluruhan mempunyai 39,941 lembu dan kerbau yang merangkumi lembu-kerbau pedaging, fedlot serta tenusu, namun 4,000 daripadanya didapati berkeliaran dipercayai dimiliki 150 pemilik.

"Bilangan ini merupakan 10 peratus dari populasi keseluruhan dan ia menunjukkan betapa seriusnya masalah haiwan yang berkeliaran di negeri ini.

"Statistik Malaysia melalui kenyataan PDRM pada 11 Januari lalu iaitu tahun 2024 merekodkan seramai 109 maut disebabkan haiwan peliharaan daripada jumlah kes kemalangan sebanyak 14,500 kes.

"Manakala, 13,877 kes mengakibatkan kerosakan harta benda, sebanyak 30 kes kecederaan parah dan 544 kes cedera ringan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!